AMELIA
AMELIA

Kuala Lumpur: Pelakon, Amelia Henderson, 27, berhasrat dan mempertimbangkan untuk mencuba nasib dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2023.

Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson berkata, tahun ini adalah peluang terakhir untuk dia berbuat demikian kerana had umur.

Katanya, dia memang gementar, namun keinginan itu ada.

"Saya memang nak sertai dan sedang mempertimbangkan sama ada nak masuk atau tak. Kalau betul saya masuk, alangkah baik kalau dapat sokongan anda.

"Saya tak rasa ingin bersaing. Untuk bertanding dengan wanita lain, saya ragu-ragu tapi nak sebenarnya. Kalau saya tak masuk tahun ini, sudah tak ada ruang untuk bertanding," katanya.

Pelakon filem Pulau itu juga lega untuk bertanding kerana segmen berbikini dalam pertandingan itu sudah tidak diwajibkan.

Amelia berkata, dia tak akan memakai bikini di atas pentas.

"Saya bukan seorang yang selesa memperagakan bikini atas pentas. Saya tak rasa saya sanggup lakukan itu sampai bila-bila. Tapi sekarang, pengurusan mereka pun sudah bertukar tangan," katanya.

Organisasi Miss Universe Malaysia di bawah pengurusan baharu kini bukan sekadar membuka penyertaan kepada wanita bujang sebaliknya wanita sudah berkahwin, bercerai, malah golongan ibu turut dialu-alukan.

Bagaimanapun, peserta perlu berusia 18 hingga 27 tahun ketika pertandingan.

Amelia pernah berkahwin dengan Tunku Datuk Harrunnarasheed Putra Tunku Anuar pada 14 Ogos 2015. Bagaimanapun pada Ogos 2018, dia mendedahkan perkahwinan itu sudah berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 11:25 AM