DATUK Jalaluddin Hassan dan Khaty Azian membuat kejutan menyambut hari kelahiran Amelia Henderson dan Aedy Ashraf. FOTO Azhar Ramli
DATUK Jalaluddin Hassan dan Khaty Azian membuat kejutan menyambut hari kelahiran Amelia Henderson dan Aedy Ashraf. FOTO Azhar Ramli
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: "Berkaitan kisah peribadi saya tidak mahu komen."

Itu kata pelakon, Aedy Ashraf, 29, apabila ditanya mengenai video dia melamar pelakon, Amelia Henderson menjadi kekasihnya di khalayak ramai yang tular, baru-baru ini.

Aedy atau nama sebenarnya Mohamad Addy Ashraf Rosmadi berkata, dia hanya mahu berkongsi mengenai perkembangan kariernya kepada umum.

Terdahulu, nama Aedy dan Amelia menjadi topik bualan netizen selepas videonya melutut dan melamar Amelia sebagai kekasihnya tular.

Ramai mengkritik tindakannya itu yang dikatakan meniru budaya Barat, apatah lagi ia cuma lamaran untuk menjadikan Amelia sebagai kekasih.

Selepas video tular, kedua-duanya dilihat aktif membuat ciapan seolah-olah memberi bayangan mereka kini sudah bergelar pasangan bercinta.

Sebelum ini, Aedy dan Amelia pernah digosip bercinta selepas muncul sebagai hero dan heroin dalam drama Kisah Cinta Kita, tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan gosip itu.

Amelia dalam kenyataannya kepada Harian Metro, baru-baru ini pula berkata, dia belum lagi memikirkan 'calon pengganti baharu' sebagai teman hidupnya selepas rumah tangga dibina ketika berusia 19 tahun berakhir pada 2018 lalu.

Dalam pada itu, Aedy yang tampil membintangi drama baharu berjudul Bila Hati Memilih Dia berkata dia teruja apabila pertama kali diberikan watak bapa.

Dalam masa sama, dia turut bimbang jika watak sebegitu akan melekat dengannya sedangkan dia masih muda dan belum berkahwin.

"Mula-mula ditawarkan watak ini. saya tidak yakin kerana risau ia akan terus melekat dalam diri saya. Namun, apa yang seronok ialah saya sangat mudah mencipta keserasian dengan pelakon cilik yang menjadi watak anak saya. Sepanjang penggambaran pun dia sentiasa melekat dengan saya," katanya.

Aedy bergandingan dengan pelakon kanak-kanak, Maryam dalam drama adaptasi daripada novel karya Wan Nur Najihah itu.

Diterbitkan Global Station Sdn Bhd, drama 15 episod itu turut dibintangi Eyka Farhana, Gambit Saifullah, Zila Bakarin dan ramai lagi.

Bila Hati Memilih Dia ditayangkan bermula kelmarin di slot Samarinda saluran TV3 selain secara penstriman di iQiyi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 12:21 PM