LIA Aziz
LIA Aziz
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi remaja, Lia Aziz, 19, tetap terasa dan sedih apabila dia harus menghadapi kritikan atau komen yang kasar, pedas dan menghiris hati daripada segelintir netizen yang mengecamnya di media sosial.

Lia atau nama sebenarnya Nur Aliah Faizana Abd Aziz berkata, sebagai manusia biasa yang ada perasaan, sedikit-sebanyak memang dia akan terasa apabila dikecam dengan kata-kata kesat.

"Apabila dikritik dengan kata-kata yang pedas atau kesat, memang saya ada perasaan terasa ataupun sedih dengan komen- komen sebegitu. Tapi, saya selalu cuba ambil positif.

"Kadang-kadang, komen yang nak menjatuhkan itu saya buat tak nampak saja. Tapi, komen-komen itu juga sebenarnya membuatkan saya jadi bersemangat dalam diri untuk buat lebih baik pada masa depan.

Lagipun, saya memang tak dapat nak halang pendapat-pendapat daripada netizen. Itu hak mereka untuk memberi komen dan saya hanya boleh cuba terima dengan terbuka," katanya kepada Harian Metro.

Lia yang sebelum ini popular dengan lagu solo pertama, Kucu Kuca berkata, karier seni yang diceburinya juga masih baharu dan dia mengharapkan lebih banyak peluang akan diperoleh nanti.

Terdahulu, Lia menyahut cabaran bertanding dalam Big Stage 2022. Bagaimanapun, rezeki tidak berpihak kepadanya apabila harus pulang awal selepas saingan minggu ketiga.

Menerusi penyingkirannya itu, Lia menjadi peserta kedua meninggalkan program mencungkil bakat penyanyi 'budak baru nak up' (BBNU) selepas usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli disingkirkan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 12:25 PM