KHAI dan Lia jadi rakan duet lagu Kaulah Syurga. FOTO Aziah Azmee
KHAI dan Lia jadi rakan duet lagu Kaulah Syurga. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


TITIK kemunculan Khai Bahar, 28, di persada seni suara tanah air bermula di aplikasi Smule sehingga dia akhirnya mendapat jolokan 'King of Smule' dalam kalangan peminatnya.

Cukup popular dengan lagu Bayang di awal pembabitannya pada 2016, Khai terus menawan hati peminat dengan single Luluh pula selepas itu.

Seiring masa berlalu, dalam tempoh lima tahun bergelar penyanyi, Khai sudah merakamkan kira-kira 20 lagu secara solo dan duet dengan beberapa penyanyi wanita.

Baru-baru ini, Khai juga tampil dengan lagu duet Kaulah Syurga bersama penyanyi baharu, Lia Aziz, 19, untuk lagu runut bunyi (OST) drama 7 Hari Mencintaiku 3 di TV3.

Khai berkata, dia tidak terlalu memilih siapa rakan duet yang layak bekerjasama dengannya termasuk melihat kepada populariti penyanyi itu.

Katanya, dia tidak kisah bekerjasama dengan rakan duet yang masih baharu dalam bidang nyanyian kerana selesa memberi peluang dan ingin menimba pengalaman dengan mana-mana penyanyi tidak kira lama atau baharu.

"Saya tahu Lia masih baharu sebagai penyanyi. Tapi, ia bukan satu masalah untuk saya menolak kerjasama kami. Saya okey saja berduet dengan Lia untuk lagu Kaulah Syurga kerana bagi saya, dia ada kelebihan vokalnya.

"Apatah lagi, dia (Lia) adalah pelajar jurusan muzik di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) dan pasti tahu juga teknik vokal dan nyanyian yang betul. Saya pula hanya bersandarkan bakat.

"Saya tiada pendidikan formal dalam muzik sehingga universiti. Jadi, dengan kerjasama ini, saya tahu ada juga ilmu yang boleh dikongsikan untuk memantapkan lagi karier nyanyian kami," katanya mengakui Lia ada alunan vokal sedap didengar.

LIA anggap peluang keemasan berduet dengan Khai. FOTO Aziah Azmee
LIA anggap peluang keemasan berduet dengan Khai. FOTO Aziah Azmee

Menurut Khai, pengalaman bekerja dengan Lia juga mudah walaupun dia masih baharu.

Katanya, mereka senang berbincang dan gabungan vokal pun serasi.

Tak sangka Khai 'cover' Kucu Kuca

Walaupun baharu dua tahun mengasah bakat nyanyian sejak 2020, Lia mengakui tidak menduga single solonya, Kucu Kuca yang dilancarkan tahun lalu mampu meledak dan diminati ramai.

Lagu ciptaan Ejai Aziz dan dipilih menjadi lagu OST drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu cukup tular di TikTok termasuk dinyanyikan semula ramai penyanyi dan salah seorangnya, Khai Bahar.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Aliah Faizana Abd Aziz ini, dia amat berbesar hati dan menganggap satu penghargaan positif diterimanya daripada rakan penyanyi lain selain terasa bagaikan mimpi.

"Saya mula mendapat peluang menjadi penyanyi dari Rusa Music pada 2020 lalu dan ketika itu pula negara dilanda Covid-19. Sukar juga untuk menggambarkan bagaimana karier nyanyian saya nanti.

 KHAI BAHAR tak pilih rakan penyanyi untuk bekerjasama. FOTO Aziah Azmee
KHAI BAHAR tak pilih rakan penyanyi untuk bekerjasama. FOTO Aziah Azmee

"Namun, tak sangka pula lagu Kucu Kuca begitu mendapat sambutan baik pendengar selepas dilancarkan. Malah, ramai juga penyanyi yang buat 'cover' lagu ini termasuk, abang Khai. Saya berterima kasih dan bersyukur," katanya.

Lia berkata, rezeki berduet dengan Khai dalam lagu Kaulah Syurga baginya satu peluang keemasan. Katanya, dia juga mulanya tidak tahu siapa penyanyi lelaki yang menjadi rakan duetnya itu.

"Apabila dapat tahu saja, abang Khai adalah rakan duet saya, rasa macam tak percaya pun ada. Maklumlah, saya penyanyi baharu dan abang Khai pula sudah dikenali serta mempunyai ramai peminat. Namun, saya ambil positif saja.

"Ini adalah rezeki dan masa untuk saya menonjolkan bakat nyanyian diri. Mana yang kurang dan lemah itu, kami boleh berbincang. Alhamdulillah, saya selesa dan 'enjoy' sepanjang bekerja dengan abang Khai. Dia seorang yang suka membantu," katanya.

Lia berkata, keperibadian Khai yang menyenangkan itu membuatkan dia gembira mereka berdua dipilih bergandingan bersama menyanyikan lagu Kaulah Syurga untuk OST drama 7 Hari Mencintaiku 3 selepas kepercayaan sama sebelum ini diperoleh Dayang Nurfaizah dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 7:00 AM