Lia bersama pemain dram kumpulan Tree Hill, Arash yang dikatakan kini menjalin hubungan cinta. Foto dari Instagram Lia Aziz
Lia bersama pemain dram kumpulan Tree Hill, Arash yang dikatakan kini menjalin hubungan cinta. Foto dari Instagram Lia Aziz
Norhayati Nordin


Puchong: Penyanyi remaja, Lia Aziz, 19, yang dipilih untuk berduet dengan penyanyi popular, Khai Bahar dalam lagu tema drama 7 Hari Mencintaiku 3 iaitu Kaulah Syurga tidak menganggap dia menumpang populariti penyanyi itu.

Lia atau nama sebenarnya Nur Aliah Faizana Abd Aziz berkata, dia dipilih sendiri oleh penerbit drama dan penulis liriknya, Siti Rosmizah.

Pada mulanya, dia sendiri tidak percaya apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Siti Rosmizah bersama Khai Bahar itu, lebih-lebih lagi ia lagu runut bunyi (OST) untuk drama bersiri diminati ramai itu.

"Saya anggap peluang menyanyikan lagu itu dan duet bersama Khai Bahar sebagai satu penghargaan besar. Ini kerana ramai tahu drama 7 Hari Mencintaimu yang disiarkan TV3 selama tiga musim ini mencetus fenomena luar biasa.

"Jadi, sebagai penyanyi baharu siapa yang tidak mahu menyanyikan lagu OST untuk drama popular seperti 7 Hari Mencintaimu 3. Saya juga tahu untuk dua lagu OST terdahulu pernah dinyanyikan Dayang Nurfaizah dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Kak Dayang menyanyikan lagu Lelaki Teragung dan TokTi (Siti) pula dengan lagu Aku Bidadari Syurgamu untuk 7 Hari Mencintaimu 2. Cuma, kali ini rezeki saya dan abang Khai nyanyi duet," katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kucu Kuca itu, dia sudah memberi yang terbaik ketika proses rakaman lagu Kaulah Syurga yang dilakukannya sebelum pembabitan dalam Big Stage 2022 lalu.

"Saya dah rakamkan lagu ini dulu sebelum menyertai Big Stage 2022. Jadi, dengan penerimaan baik daripada pendengar, ia sedikit sebanyak mengubat rasa kekecewaan saya yang tersingkir awal di Big Stage 2022 itu.

"Apatah lagi, banyak kata-kata yang menyedihkan daripada netizen ketika itu yang mendakwa saya tak boleh menyanyi 'live', tiada bakat dan sebagainya. Tapi, saya hanya biarkan saja dan selalu ambil positif," katanya.

Lia yang kini melanjutkan pengajian dalam jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) juga tidak menyembunyikan kisah cintanya.

Katanya, tidak salah dia mengaku asalkan tak keterlaluan.

"Saya sekarang memang ada berkawan rapat dengan seseorang. Nak tahu siapa dia, saya ada juga kongsikan sekali-sekali foto kami bersama di Instagram. Hubungan saya dan dia pun sudah diketahui oleh keluarga.

"Saya seorang yang akan memperkenalkan sesiapa yang mahu berkawan sama ada lelaki atau perempuan kepada keluarga dulu. Saya nak ibu bapa mengenali mereka agar tiada rahsia," katanya.

Difahamkan, lelaki yang kini rapat dengan Lia adalah pemain dram kumpulan Tree Hill, Arash. Bagaimanapun, Lia enggan mengulas lanjut mengenainya kerana tidak mahu kisah cinta terlalu jadi perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 2:06 PM