BARISAN peserta, juri dan pihak Astro pada sidang media dan pelancaran Big Stage, baru-baru ini.
BARISAN peserta, juri dan pihak Astro pada sidang media dan pelancaran Big Stage, baru-baru ini.
Sudirman Mohd Tahir

Jika program Gegar Vaganza membariskan penyanyi lama berentap merebut gelaran juara, terbaru Astro muncul dengan program realiti Big Stage menampilkan bakat muda yang digelar Budak Baru Nak Up (BBNU).

Seramai 10 bintang terbabit terdiri daripada Ariff Bahran, Afieq Syazwan, Andi Bernadee, Syafiq Farhain dan Tajul.

Peserta wanita pula Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Imann dan Wani Kayrie.

Menurut Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro Namanzee Harris, program realiti itu diwujudkan kerana mengikut perkembangan muzik semasa.

Ia sekali gus memberi peluang kepada penyanyi muda yang mempunyai bakat namun tidak berpeluang ke peringkat lebih tinggi.

“Ketika ini industri hiburan sangat berbeza apatah lagi melalui era digital. Malah, kebanyakan bakat baru sekarang lahir dari situ.

“Disebabkan itu juga, permintaan terhadap mereka sangat tinggi untuk menjayakan persembahan. Kami percaya dengan istilah tiada yang baharu tiada yang lama,” katanya.

Namanzee berkata, Big Stage adalah platform terbaik untuk penyanyi muda menonjolkan bakat sebenar dengan diadili juri profesional sepenuhnya.

“Kami menyediakan platform kepada mereka yang memiliki daya juang tinggi untuk membawa karya mereka yang selama ini cuma dipertontonkan menerusi alam maya ke dunia sebenar.

“Mereka terpilih selepas menghadiri uji bakat. Walaupun mereka bernaung di bawah syarikat rakaman, dengan adanya aspirasi berbeza jadi perjuangan juga berbeza.

“Apabila bersetuju menyertai program ini bermakna mereka sanggup menerima kritikan,” katanya.

Garang bertempat

Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, apabila bergelar juri tanggungungjawab yang digalasnya besar kerana perlu memberi input pembelajaran buat peserta.

“Dari segi komen, orang sudah tahu watak saya macam mana. Kalau mahu garang, kena ada cara, tetapi diakui saya seorang yang tegas.

“Apabila duduk di kerusi juri, saya perlu ambil kira semua perkara. Kalau selama ini tidak ada yang menilai mereka, jadi masih boleh terlepas.

“Kali ini, apa yang perlu diperbaiki saya akan tegur. Pada masa sama, komen bertujuan untuk mengajar,” katanya.

Sependapat dengan Siti, Faizal juga lebih kepada mendidik dan menegur ke arah kebaikan.

“Kalau nak komen pedas, mungkin tidak boleh lawan Mas Idayu. Macam saya, kalau nak komen lebih kepada mengajar dan bukannya marah.

“Saya inginkan penjurian yang logik dan teguran membina. Memandangkan ini program baru dan disertai penyanyi baru, saya berasakan ini tempat sesuai untuk mereka,” katanya.

Selain Siti dan Faizal, seorang juri jemputan akan diundang secara bergilir-gilir setiap minggu bagi mengadili persembahan.

Program yang bakal bersiaran Ahad ini jam 9 malam di saluran Astro Ria dan Ria HD menampilkan dua pengaraca popular iaitu Alif Satar serta Sherry Al Hadad.

Juara Big Stage akan memenangi wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula bakal membawa pulang wang tunai RM50,000, RM25,000 serta trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 2:00 PM