Zulin sah bergelar isteri Farhan dengan sekali lafaz.
Zulin sah bergelar isteri Farhan dengan sekali lafaz.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Zulin Aziz, 33, sah bergelar isteri kepada pasangannya, Farhan Norzaini, 35, tepat jam 9.20 pagi ini dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Negara, Kuala Lumpur. 

Zulin meluahkan rasa syukur dan gembiranya selepas melalui pelbagai ujian dan dugaan sebelum melangkah ke fasa berumah tangga. 

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira selepas masing-masing pernah melalui fasa berpisah dahulu. 

"Kali ini, kami disatukan selepas melalui naik dan turun (dugaan) dalam hubungan," katanya. 

Sementara itu, Farhan juga meluahkan rasa syukurnya dan kini bersiap sedia untuk mengharungi fasa baharu dalam kehidupan. 

"Alhamdulillah, saya bersyukur Allah satukan kami selepas dua tahun bersama bermula sebagai kawan dan sebagai pasangan, seterusnya, sekarang sebagai suami dan isteri. 

"Perasaan bercampur baur sebab ini antara hajat dan doa daripada arwah ibu dan juga doa rakan-rakan serta semua yg mengenali kami," katanya. 

Zulin dan Farhan diijabkabulkan oleh Imam Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni dan diwalikan oleh abang Zulin, Shah Rezza Abdul Aziz. 

Farhan memberikan mas kahwin sebanyak RM80, lima dulang hantaran termasuk sebentuk cincin serta wang hantaran bernilai RM30,000, manakala pihak Zulin membalas dengan tujuh dulang. 

Terdahulu Zulin memaklumkan dia sudah mengenali suaminya sejak dua tahun lalu yang juga rakan perniagaannya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 10:16 AM