ZULIN Aziz
ZULIN Aziz
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz, 34, meminta netizen berhenti memfitnah dan bercakap yang buruk-buruk mengenai kisah rumah tangganya berhubung perpisahan dengan suami , Farhan Norzaini, 36, yang dikongsinya secara tiba-tiba di Instagram, semalam.

Menerusi video suara berdurasi hampir tiga minit di TikTok, Zulin memberi penjelasan mengenai 'kejutan' di media sosial itu yang menarik perhatian ramai dengan pelbagai tanggapan.

Zulin berkata, apa yang dilakukannya menerusi hantaran dibuat kerana mahu mengelakkan fitnah di kemudian hari, lebih-lebih lagi Aidilfitri semakin hampir untuk dirai.

"Kenapa saya 'post', sebab tak nak fitnah di kemudian hari. Nak sambut Syawal dah ni, nanti tak ada gambar dengan 'husband' (suami), semua orang tanya mana 'husband', mana 'husband'. Nanti jadi macam-macam benda, saya nak kena 'explain' (jelaskan).

"Saya 'post' hanya nak beritahu saja (berpisah), tapi apa sebabnya tak perlulah dikongsikan. Saya beritahu itu pun, bukan nak canang-canang hal rumah tangga saya macam ini, namun itulah keadaannya.

Kita 'public figure' kan. Nanti ada saja orang nak tanya, jadi saya 'explain' awal-awal supaya tak ada soalan pelik-pelik di kemudian hari," katanya yang meminta terus didoakan baik-baik saja.

Zulin berkata, dia sedar hantaran dibuat itu amat mengejutkan kerana selama ini tidak pernah berkongsi hal-hal rumah tangga dan kesedihan dialaminya di media sosial.

Katanya, dia bukan selebriti yang suka berkongsi hal peribadi.

"Kami memang tak ada masalah apa-apa, mungkin tiba-tiba saja bergaduh. Apapun, ujian kita dalam rumah tangga ini berbeza-beza. Situasi saya, tak boleh nak samakan dengan orang lain.

"Malah, setiap apa yang saya kongsikan di media sosial itu terjadi dalam hidup saya. Ia benda yang betul. Saya tidak melakukannya untuk 'prank' atau strategi pemasaran," katanya.

Semalam, Zulin tiba-tiba memuat naik foto pernikahannya dengan suami, Farhan Norzaini di Instagram bersertav keterangan gambar yang membayangkan mereka sudah berpisah.

"Mungkin sampai sini saja kisah kami. Tiada persefahaman. Semoga yang baik-baik untuk masa akan datang. Insya Allah, masa merawat semuanya. Thanks for everything. Take care (terima kasih atas segalanya, jaga diri)," tulisnya berserta emoji hati berwarna merah terbelah dua.

Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dan ada yang beranggapan mungkin ia barangkali strategi pemasaran.

Bagaimanapun, ramai di antaranya termasuk rakan selebriti mendoakan agar Zulin tabah, sabar dan kuat semangat dengan ujian dihadapi.

Zulin dan Farhan bernikah di Masjid Negara, di sini dalam majlis berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (Jawi) pada 20 Februari tahun lalu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 4:32 PM