ZULIN. FOTO Arkib NSTP
ZULIN. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan pengacara, Zulin Aziz membantu peniaga kecil dengan membeli makanan daripada mereka dan kemudiannya menyumbangkan kepada 10 keluarga bagi setiap program yang dijalankannya.

Zulin ketika dihubungi berkata, dia dah beberapa rakannya memulakan program itu sebagai salah satu cara untuk membantu peniaga kecil yang terjejas dan pada masa sama, membantu keluarga-keluarga yang kekurangan bekalan makanan.

"Ini bukan untuk menunjuk-nunjuk atau apa, tapi saya perlu kongsikan juga di media sosial kerana kalau tidak, bagaimana saya nak cari peniaga-peniaga kecil ini. Secara tak langsung, saya dan beberapa rakan dapat bantu mereka yang terjejas punca pendapatan kerana tidak dapat keluar berniaga," katanya kepada Harian Metro.

Zulin memulakan program berkenaan sejak tiga hari lalu di Instagram dan meminta mereka yang ingin mendapatkan juadah-juadah yang dibeli itu memaklumkan kepadanya.

"Kita cuba jangkau beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pahang buat masa sekarang dan Alhamdulillah, sambutannya menggalakkan.

"Walaupun saya dan rakan-rakan bekerja dari rumah masing-masing, tapi kita cuba sedaya upaya kumpulkan maklumat mengenai peniaga-peniaga kecil ini dan juga keluarga yang memerlukan bantuan makanan," katanya.

Zulin menyerahkan kepada peniaga terpilih untuk mencari keluarga-keluarga yang memerlukan dan sekiranya mereka tidak boleh mencari, Zulin akan minta peminat-peminatnya di negeri terbabit untuk berkongsi maklumat.

Selain menyumbangkan makanan dengan konsep 'belanja makan' ini, Zulin dan rakan-rakan turut menyumbangkan barangan keperluan asas, namun secara tertutup.

"Kita tak ada dana besar. Masing-masing bantu setakat yang kami mampu, jadi sebab itulah kami tak uar-uarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 4:25 PM