AUREL dan Atta bergambar bersama keluarga Halilintar dan Hermansyah di Istanbul.
AUREL dan Atta bergambar bersama keluarga Halilintar dan Hermansyah di Istanbul.
Syafil Syazwan Jefri

Bintang YouTube dan penyanyi Indonesia, Atta Halilintar berkongsi kegembiraannya apabila akhirnya dapat mempertemukan isterinya, Aurel Hermansyah serta keluarga mentuanya, Anang Hermansyah dan Ashanty dengan keluarganya buat pertama kali selepas berkahwin pada April lalu.

Dalam beberapa hantarannya di Instagram, Atta bersama keluarga Aurel bercuti di Istanbul, Turki yang turut disertai keluarga Atta yang sebelum ini menetap di Malaysia.

"Pertama kali isteriku dan Baby A bertemu dengan papa dan mamaku," tulisnya dalam satu hantaran yang memaparkan Aurel dan Atta bergambar bersama ibu bapanya, Geni Faruk dan Halilintar Asmid.

Dalam hantaran lain, kelihatan Aurel bergambar dengan 10 adik-beradik Atta yang lain.

"Akhirnya, aku dan isteriku bertemu dengan 10 adikku. Detik yang ditunggu dari sebelum nikah. Semua menangis terharu," tulisnya.

Dalam hantaran terbarunya semalam, Atta memuat naik foto pertemuan keluarga Aurel dengan keluarganya ketika makan malam bersama.

"Malam terbaik di Istanbul. Mentua dan mentua (besan) berjumpa," tulisnya.

Atta dan Aurel berkahwin pada 3 April lalu disaksikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo selepas bertunang pada 13 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 2:50 PM