MILA (kiri) bersama mangsa banjir dan barangan bantuan dihulurkan.
MILA (kiri) bersama mangsa banjir dan barangan bantuan dihulurkan.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga ahli perniagaan, Mila Jirin, 34, bercadang membeli bot atau sampan bagi memudahkan dia bersama suami, Isz Mustapha dan pasukan mereka melakukan kerja-kerja menyelamat dan menghantar bantuan ketika banjir.

Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin ketika dihubungi berkata, setiap tahun beberapa lokasi di Malaysia akan mengalami banjir. Sekiranya mereka mempunyai bot atau sampan sendiri itu lebih memudahkan untuk urusan menyelamat keluarga termasuk membantu orang lain juga.

"Kejadian banjir besar yang melanda sebahagian Selangor dan Kuala Lumpur, Sabtu lalu cukup memberi peringatan kepada saya supaya bersiap sedia kerana situasi bencana sebegini tidak boleh dijangka.

"Selama lebih 10 tahun menetap di Puchong, kejadian banjir besar Sabtu lalu adalah kali pertama dilalui. Memang terkejut kerana saya tak pernah menduga kawasan Puchong akan terkesan seteruk ini.

"Ketika hujan lebat itu, kami berada di BizmiIla kerana ada majlis perlu diurus. Ketika sibuk bekerja, ada pekerja saya terima panggilan daripada keluarganya maklumkan kawasan kediaman mereka sudah banjir dan dia tak boleh balik ke rumah lagi.

"Esoknya, saya pun nak bantu pekerja itu melihat keadaan rumahnya tapi air banjir sudah tinggi dan ketika itu kami tiada bot dan sukar untuk beri bantuan. Puas juga mencari bot atau sampan di kawasan berdekatan untuk disewa, namun semua sudah tiada," katanya kepada Harian Metro.

Justeru, Mila memberi cadangan kepada suaminya untuk memiliki bot atau sampan supaya boleh digunakan mereka apabila ada kecemasan seperti bencana banjir ini.

Ditanya mengenai misi bantuan banjir dilakukannya sejak malam Ahad lalu, Mila berkata, dia, suami, bapa, adik ipar dan beberapa pekerja menghantarkan bantuan barangan keperluan di enam buah pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka untuk mangsa banjir di Puchong dan USJ Subang Jaya.

Katanya, dia terpanggil membantu atas rasa simpati dengan kesusahan menimpa orang lain termasuk membalas jasa warga Puchong yang banyak memberi sokongan serta membantu perniagaannya berdiri kukuh selama ini.

"Sebak hati saya melihat keadaan mangsa-mangsa banjir terutama warga emas yang sakit, wanita hamil, bayi dan kanak-kanak di PPS. Kebanyakan mereka sehelai sepinggan kerana hanya mampu menyelamatkan diri dan keluarga.

"Apapun, saya puji sikap perpaduan pelbagai kaum di Malaysia yang mana saya lihat semua bangsa walau berlainan agama bersatu membantu hulurkan bantuan berupa makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir. Inilah masanya rakyat bantu rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 6:28 PM