JAYAKAN kempen RM5 Juta Tunai Percuma dengan kerjasama Malakat Mall sasar bantu lebih 100,000 keluarga.
JAYAKAN kempen RM5 Juta Tunai Percuma dengan kerjasama Malakat Mall sasar bantu lebih 100,000 keluarga.
Sudirman Mohd Tahir

Penyanyi Mila Jirin menjayakan kempen RM5 Juta Tunai Percuma dengan kerjasama Malakat Mall yang dilancarkan, hari ini.

Mila, 34, atau Noorsyarmila Jirin berkata, kempen itu diharap dapat mengurangkan beban masyarakat termasuk mereka yang berdepan kesukaran yang dianggarkan mampu membantu lebih 100,000 keluarga di Malaysia.

"Memang besar harapan saya supaya kempen ini dapat membantu mengurangkan beban masyarakat kita. Kalau boleh memang mahu membantu lebih 100,000 keluarga ini.

"Saya bukan sesiapa atau nak tunjuk hero, tapi saya juga manusia biasa yang tahu kesukaran dilalui masyarakat ketika ini bukan sesuatu yang mudah. Saya juga seorang ibu, jadi tak sanggup melihat anak kecil tak ada makanan. Saya tak dapat membayangkan situasi sebegitu terjadi.

"Jadi, dengan adanya inisiatif kempen yang dijalankan antara Bizmilla bersama Malakat Mall diharap mampu memberikan kebahagiaan buat mereka yang kini berdepan kesukaran dan keperitan meneruskan kehidupan," katanya.

Sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara, Mila mengakui perniagaan perkahwinan dan kembara umrah yang diusahakan turut terkesan. Namun, Mila sehabis mungkin berusaha bagi menyelamatkan pekerjanya yang ramai.

Antaranya Mila menjual kek, durian dan kini perniagaan tempahan makanan dalam talian semata-mata menyelamatkan syarikat dan kakitangan.

"Kita tak pernah menduga Allah beri ujian besar ini. Bayangkan orang yang susah lagi bertambah keperitan. Ada yang hilang pekerjaan dan banyak lagi yang berlaku. Sejak memperlahankan kerjaya nyanyian dan beralih ke bidang perniagaan, saya tak pernah ada sekelumit rasa seperti hilang arah atau kecewa.

"Saya yakin ada hikmah di sebalik pilihan yang Allah berikan ini. Cuma sejak April tahun lalu saya berasa paranoid apabila syarikat kena tutup selama berbulan-bulan. Dalam hati apa akan jadi kepada masa depan enam syarikat saya dan 117 pekerja sepenuh masa serta sambilan.

"Tapi saya dan suami atasi dengan mempelbagaikan cabang perniagaan dengan sumber yang ada. Setiap kali fikir nasib pekerja yang ramai, hati menjadi sayu. Tidak sampai hati nak berhentikan mereka sebab ada yang sudah sedekad bekerja dengan saya," katanya.

MILA sasarkan anggaran 100,000 keluarga dapat dibantu.
MILA sasarkan anggaran 100,000 keluarga dapat dibantu.

Dalam masa sama, Mila yang sudah 20 tahun terbabit dalam bidang perniagaan terpaksa menutup sementara operasi Restoran Embun Urai yang terletak di Tasik Prima Puchong, Selangor.

"Dalam perniagaan pasti akan ada banyak cabaran, ada yang kita dapat selamatkan dan sebaliknya. Itu lumrah. Apa yang boleh diusahakan dengan cara lain, kita teruskan. Insya-Allah Tuhan beri jalan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kempen itu, Bizmilla dan Malakat Mall memperuntukkan RM5 juta dalam bentuk 'cash back' atau pulangan tunai kepada semua pelanggan.

"Peruntukan wang tunai RM5 juta itu diberikan kepada pelanggan yang membeli kredit tambah nilai untuk membeli barangan harian secara fizikal di semua lokasi Malakat Grocer di Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka," katanya.

Kempen RM5 Juta Tunai Percuma ini dilancarkan hari ini di laman web www.bizmillagrocer.com bermula jam 10 Pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:20 AM