PROGRAM Fat2Fit bukan sekadar menekankan aktiviti fizikal, malah menitikberatkan aspek psikologi.
PROGRAM Fat2Fit bukan sekadar menekankan aktiviti fizikal, malah menitikberatkan aspek psikologi.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Hendak seribu daya, tak hendak pasti beribu dalihnya. Ia peribahasa yang tepat ditujukan kepada mereka yang menggunakan 1,001 alasan untuk tidak keluar bersenam.

Ramai dalam kalangan kita sedar senaman itu baik untuk kesihatan, tetapi lazimnya diri hanya teruja untuk bersenam pada peringkat awal sebelum satu demi satu alasan diberikan selepas itu.

Alasan paling klise-tiada masa untuk ke gimnasium atau bersenam di luar kawasan rumah. Ada pula yang menggunakan alasan kekurangan peralatan sehingga membuatkan diri enggan kembali bersenam secara konsisten.

Namun keazaman tinggi untuk menurunkan berat badan seperti yang ditunjukkan lebih 130 peserta Fat2Fit ini nyata mencetuskan semangat untuk penulis meneruskan senaman sebagai gaya hidup sihat.

Bermula dengan program Fat2Fit di Singapura, ia menerjah kawasan Universiti Malaya dan terkini disertai pula 30 wanita daripada Puspanita MARA, Kuala Lumpur.

Jelas pengasasnya merangkap pakar fisiologi senaman dan pensyarah di Fakulti Pusat Sukan Universiti Malaya, Dee Dee Mahmood, Fat2Fit (F2F) diilhamkan daripada pengalamannya sendiri.

"Saya dulu mengalami masalah kegemukan melampau hingga terpaksa melakukan pembedahan lutut.

"Saya dulu agak gemuk dengan berat badan melebihi 90 kilogram. Hendak berjalan kaki 100 meter pun rasa terlalu penat dan tercungap-cungap seperti kehabisan nafas.

"Saya cuba pelbagai cara untuk kurus hingga memudaratkan diri. Pil, bulimia, semuanya pernah saya cuba dan kemuncaknya saya amalkan diet jus atau diet Hollywood yang terlalu ekstrem hingga mengalami masalah gastroenteritis lalu terpaksa dimasukkan ke wad.

"Pada masa sama, saya juga perlu lakukan pembedahan pada lutut kerana kesan mudarat disebabkan berat badan yang tidak seimbang dengan ketinggian, selain kesan negatif akibat pengambilan produk pelangsingan badan yang keterlaluan.

"Keadaan itu nyata membuka mata saya untuk mencari alternatif lain yang lebih sihat dan selamat. Jawapannya hanyalah senaman dan pengambilan makanan seimbang," katanya.

Susulan kepada pencapaiannya menurunkan berat badan dan kesan positif yang diperoleh daripada senaman, Dee Dee melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan.

"Dengan ilmu yang saya peroleh dan gunakan ini, saya rasa ia perlu dikongsi dengan mereka yang mengalami masalah sama.

"Selepas beberapa tahun melakukan kajian dengan bantuan rakan pakar dari Amerika Syarikat, Australia dan Eropah, F2F wujud sejak setahun lalu," ujarnya.

Program menurunkan berat badan secara sihat menerusi senaman dan amalan pemakanan sihat itu dimulakan dengan sasaran sebelum sesi senaman dilakukan di luar seperti di stadium atau kawasan taman permainan, bukannya di gimnasium.

"Saya mahukan suasana yang lebih santai dan menyeronokkan. Mengikut pengalaman saya pertama kali ke gimnasium dulu, ramai yang mengejek dan banyak mata yang memandang dengan cara kurang senang.

"Justeru, saya tidak mahu peserta rasa terbeban dengan 'buli psikologi' seperti itu. Tapi saya tiada halangan untuk peserta meneruskan rutin senaman mereka di gimnasium. Bagi saya, asalkan mereka terus bersenam, itu sudah memadai," katanya yang sesekali mengadakan latihan di gimnasium khusus untuk peserta F2F.

Selain penekanan kepada aspek latihan fizikal dan pemakanan sepanjang tiga bulan, F2F turut membantu peserta dari segi psikologi terutama selepas mereka berjaya menurunkan berat badan.

"Ramai yang lupa mengenai aspek psikologi selepas kita berjaya mencapai sasaran hingga akhirnya kembali menambah berat badan.

"Biasanya selepas berjaya menurunkan berat badan, kita rasa teruja dan ada yang terus berhenti bersenam kerana berasakan tiada lagi keperluan untuk melakukannya.

"Persepsi itu sama sekali silap dan itu yang cuba saya usahakan dalam program ini," tegasnya.

Memetik kata-kata seorang kakitangan di Pusat Teknologi Maklumat Universiti Malaya, Shahnaz Azri, F2F membantunya menurunkan berat badan secara efektif.

"Sebelum, ini saya pernah berjaya mengurangkan berat badan daripada 136kg kepada 125kg, tetapi tiada rakan yang minat bersenam menyebabkan saya malas untuk meneruskan joging selepas waktu bekerja.

"Pendekatan F2F berbeza daripada program lain dan kini saya hampir berjaya mencapai sasaran penurunan berat badan sehingga 80kg," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:00 AM