Ernie Zakri
Ernie Zakri
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Nak lihat kak Ninie (Ernie Zakri) kurus macam AJL 32 dulu. Mampu tak? Comel sangat."

Itu antara komen diterima penyanyi Ernie Zakri daripada peminat yang berharap dia dapat memiliki kembali bentuk tubuh lama iaitu sebelum berkahwin.

Ernie, 30, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, ketika itu dia gembira kerana kurus, namun mengakui tidak menjaga soal pemakanan dan gaya hidup sihat.

"Sejujurnya saya rindu bentuk badan masa dulu. Umur 25, 26 tahun memang gembira sangat sebab kurus. Tapi, makan dan minum tak menentu. Senang cerita, bukan gaya hidup sihat. Jauhlah nak makan suku, separuh tu.

"Berat masa tu 45 kilogram (kg). Pada saya, pakai apa pun masa tu nampak cantik sebab memang kurus sangat. Apabila tengok balik masa tu terutama AJL ketika menyanyikan lagu Aku Cinta, saya cakap dalam hati 'eh macam badan budak budak'.

"Nampak tak sihat. Sebab kita saja tahu apa kita 'consume' masa tu kan. Masuk saja umur 27, 28, dan 29 tahun berat badan terus 49 kg. Saya sudah mula bersenam masa tu. Saya sangat gembira dan sihat, alhamdulillah," katanya.

Dalam masa sama, Ernie yang baru muncul dengan single Korban berkata, ketika hamil anak sulung beratnya naik.

Malah, Ernie yang sedang dalam proses berpantang selepas melahirkan anak pada 22 Februari lalu mensasarkan berat 50 kg.

"Sewaktu mengandung tentu saja berat badan naik. Saya tak bimbang sebab perkara ini normal untuk semua orang. Sekarang, nak mula balik kehidupan sihat itu. Nak turunkan berat badan pun kena perlahan lahan. Tak nak 'rushing' macam dulu. Asalkan sihat, alhamdulillah.

"Moga Allah SWT permudahkan perjalanan saya ini. Dapat 50kg pun okay dah, Insya-Allah. Jadi doakanlah perjalanan saya ini. Nak bersenam kena tunggu lama sikit. Jadi, saya menjaga pemakanan saja sekarang ini," katanya.

Ernie berkahwin dengan penyanyi Syamel pada 26 Mac tahun lalu dan dikurniakan anak perempuan diberi nama Nur Khawla Soleha.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 1:41 PM