NAZRUL, ustaz Huri dan Shidee.
NAZRUL, ustaz Huri dan Shidee.
Ridzuan Abdul Rahman


Agak lama menyepikan diri, Imam Muda (IM) Nazrul kini membuat kemunculan semula dengan single terbaru berjudul Sembunyi Lara.

Nazrul yang dikenali dengan watak Amir menerusi drama Warkah Cinta pada 2012 kini berpadu suara bersama salah seorang anggota kumpulan nasyid Khayran iaitu Shidee.

"Single terbaru kami baru saja dilancarkan melalui saluran YouTube Inteam Digital. Saya berharap lagu Sembunyi Lara ini boleh diterima setiap lapisan masyarakat. Mereka yang belum berkesempatan mendengar, kena menikmatinya.

"Satu kerugian sekiranya kalau tak dengar. Manakala yang dah dengar kena berkongsi pula dengan kawan kawan serta ahli keluarga," katanya.

Nazrul berkata, lagu ini ditujukan buat peminatnya yang sering bertanya kemunculan semulanya dalam industri muzik.

"Jadi, sekarang saya kembali dan bagi saya, lagu ciptaan ustaz Huri ini sangat terbaik dan amat sesuai untuk dinikmati oleh mereka.

"Lagu ini dihasilkannya ketika dalam perjalanan menuju kuliah maghrib. Ia adalah kisah benar yang dilalui oleh kenalan ustaz Huri bernama Ali yang kehilangan anaknya, Lukman akibat kanser usus.

"Lirik asal adalah dalam bentuk sajak yang diilhamkan oleh Ali terhadap Lukman. Kekuatan lagu ini terletak pada melodinya, ditambah pula dengan lirik yang saya kira kena dengan irama," katanya yang juga naib juara program realiti Imam Muda musim kedua.

Ustaz Huri pernah menggubah lagu dan lirik berjudul Tahabba Fillah yang menjadi juara carta ekspresi radio Ikim sebelum ini yang dinyanyikan secara berduet dengan Shidee Khayran.

Shidee Khayran pula mengakui sesiapa yang menikmati lagu ini pasti terasa syahdu kerana sangat menyentuh perasaan.

NAZRUL kembali semula dalam industri menerusi single terbaru.
NAZRUL kembali semula dalam industri menerusi single terbaru.

"Ia amat menusuk emosi terutama pada mereka yang pernah kehilangan orang tersayang. Memang amat terasa," katanya.

Sementara itu, Ali sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada pasukan ustaz Huri yang bertungkus lumus menyiapkan lagu ini.

Dia juga berterima kasih kepada pihak Inteam yang sudi menerima lagu ini untuk diletakkan di saluran YouTube mereka.

"Bila anak saya meninggal dunia pada 31 Januari lalu, saya hasilkan dalam bentuk sajak apa yang dia lalui. Saya tahu dia sakit yang teramat sangat sebab kanser usus itu sudah merebak ke hati serta tulang tengkuk. Walaupun begitu dia tak tunjuk kesakitan. Ini kerana dia tak nak kami ahli keluarga rasa susah sama. Kerana itulah tajuk lagu ini Sembunyi Lara," katanya.

Di samping itu, Ali mengakui lagu ini juga sesuai dengan situasi pandemik Covid-19 sekarang di mana ramai dalam kalangan kita yang kehilangan orang tersayang.

Sembunyi Lara kini sudah berada di semua platform digital dan YouTube Inteam Digital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 6:10 AM