NEGERI Sembilan bakal berdepan TFC II Jumaat ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan
NEGERI Sembilan bakal berdepan TFC II Jumaat ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan
Mohd Amin Jalil


KEPUTUSAN dalam tiga aksi persahabatan yang tidak menyebelahi Negeri Sembilan membuatkan pemain skuad berkenaan bersikap lebih berwaspada menjelang perlawanan menentang Terengganu FC II (TFC II) pada saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.

Malah, mereka sedar perlunya menggandakan lagi usaha, bagi memastikan impian memburu kemenangan kedua tercapai dan seterusnya melebarkan lagi rekod baik itu ke perlawanan berikutnya nanti.

Ini diakui, penyerang Muhammad Nazrul Kamaruzaman, betapa dia dan rakan-rakan dalam pasukan itu bakal menghadapi tugas berat pada perlawanan pertama selepas penangguhan Liga Malaysia sejak 16 Mac lalu.

"Keputusan yang kami capai dalam tiga aksi persahabatan sememangnya kurang memberangsangkan apabila pasukan tewas kepada Selangor (3-0) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (3-1) dan sekadar seri dengan Felda United FC (2-2).

"Justeru itu, kami perlu ambil perhatian serius terhadap keputusan berkenaan kerana cabaran mengharungi saingan liga bermula menentang TFC II, dijangka lebih sukar.

"Kami perlu memberikan persembahan lebih baik pada perlawanan sebenar bermula Jumaat ini, jika mahu memastikan kejayaan atau impian musim ini dapat dicapai," katanya di sini, hari ini.

Nazrul akui, walaupun ia hanya sekadar aksi persahabatan, namun ternyata memberikan pengajaran kepada semua pemain dalam skuad Hobin Jang Hobin.

"Baki tujuh perlawanan bakal menjadi penentu kepada nasib Negeri Sembilan musim ini dan sebarang kelemahan dalam persembahan pastinya akan membawa padah.

"Apatah lagi, tidak berpeluang untuk menebusnya kembali kelemahan itu atau mata yang tercicir kerana tiada aksi timbal balik seperti mana sebelum ini.

"Justeru, kami perlu memberikan persembahan terbaik seperti mana yang dirancangkan oleh jurulatih, dengan memastikan kami mampu mencapai sekurang-kurangnya lima kemenangan tanpa kalah," katanya.

Tonggak berpengalaman yang pernah beraksi bersama Selangor itu berkata, pasukannya akan membuat persiapan dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

Nazrul akui pemain Negeri Sembilan perlu berwaspada ketika melayani kunjungan TFC II, Jumaat nanti dan dia bertekad untuk membantu skuad Rusa melakar kemenangan, andai mendapat pilihan ketua jurulatih, Sazali Saidun.

"Kedudukan saya belum pasti namun jika diberikan amanah oleh jurulatih, sedia bergandingan dengan Jose Amir Neto atau Igor Luiz di barisan depan, Jumaat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:45 PM