Muhammad Apendy Issahak


KEPUTUSAN kes pereka grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas dakwaan memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara ditangguh pada 7 Februari ini.

Hakim Norashima Khalid pada 8 Januari lalu menetapkan hari ini sebagai tarikh keputusan, namun penangguhan dimohon Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Zameri selepas dimaklumkan hakim berkenaan cuti sakit.

Nazrul Nizam mencadangkan 7 Februari ini bagi keputusan di hadapan Hakim Murtazadi Amran dan dipersetujui peguam Louis Liaw yang mewakili Syahredzan Johan bagi pihak Mohd Fahmi Reza.

Tertuduh pada 4 Januari lalu diarah membela diri bagi pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara melalui Facebooknya pada Februari 2016.

MOHD Fahmi Reza Mohd Zarin di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
MOHD Fahmi Reza Mohd Zarin di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Abdullah Yusof

Keputusan dibuat Norashima selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh diakhir pendakwaan.

Mohd Fahmi Reza kemudian diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah di luar kandang saksi atau memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi.

Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi dan kes kemudian diteruskan dengan perbicaraan sebelum Norashima menetapkan hari ini untuk keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 2:03 PM