MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri bergambar bersama artis nasyid yang memenangi anugerah pada ANAM 2020.
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri bergambar bersama artis nasyid yang memenangi anugerah pada ANAM 2020.
Norhayati Nordin


SATU kejayaan besar sudah terlakar buat penggiat nasyid dan lagu kerohanian di negara ini dengan kejayaan penganjuran Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM 2020), Ahad lalu.

Sebanyak 11 kategori dipertaruhkan dan pemilihan pemenang ANAM 2020 masih didominasi kumpulan nasyid popular dan berpengaruh seperti Rabbani, Inteam dan Raihan. Begitu juga, kumpulan Sabyan dari Indonesia.

Apapun, semarak irama nasyid dan lagu kerohanian yang sudah bertapak lama dalam industri kini mendapat perhatian kerajaan untuk terus dikembangkan dengan lebih serius.

Apa yang pasti, kumpulan Rabbani masih unggul apabila memenangi tiga anugerah iaitu Lagu Nasyid Terbaik, Vokal Nasyid Terbaik dan Lirik Nasyid Terbaik oleh Ito Lara.

Anggotanya, Azadan Abdul Aziz berkata, mereka amat gembira dan bersyukur dengan kemenangan itu yang dianggap rezeki serta pencapaian tidak diduga.

"Terima kasih kerana terus menyokong perjuangan muzik kerohanian daripada Rabbani. Kami masih aktif menyanyi dan akan terus memperjuangkan muzik nasyid.

"Bagaimanapun, saya gembira melihat perjuangan penggiat nasyid tanah air yang kini mendapat perhatian kerajaan untuk menyokong segala aktiviti mengembangkan lagi irama muzik ini ," katanya.

KUMPULAN Rabbani yang diwakili Azadan bersama trofi selepas dinobatkan Vokal Nasyid Terbaik pada ANAM 2020.
KUMPULAN Rabbani yang diwakili Azadan bersama trofi selepas dinobatkan Vokal Nasyid Terbaik pada ANAM 2020.

YASSIN Sulaiman tampil buat persembahan bersama kumpulannya, Brothers.
YASSIN Sulaiman tampil buat persembahan bersama kumpulannya, Brothers.

PENYANYI, Azmee Abdul Manap atau dikenali sebagai Daqmie bersama trofi Lagu Nasyid Terbaik menerusi lagu Ittihad nyanyian Rabbani.
PENYANYI, Azmee Abdul Manap atau dikenali sebagai Daqmie bersama trofi Lagu Nasyid Terbaik menerusi lagu Ittihad nyanyian Rabbani.

Menurut Azadan, lagu nasyid dan kerohanian memiliki pengaruh tersendiri. Ia mudah lekat di hati pendengar kerana padat dengan penulisan lirik positif dan menyentuh jiwa.

Katanya, mesej dimuatkan dalam lagu nasyid dan berunsur kerohanian juga puitis. Ia juga banyak memuji keagungan Yang Maha Esa dan Nabi Muhammad SAW.

Memandangkan ketika ini negara masih berdepan penularan Covid-19, segala aktiviti hiburan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kejayaan di ANAM 2020 juga diraih kumpulan Inteam yang membawa pulang dua trofi kemenangan menerusi Artis Nasyid Pilihan berdasarkan undian dan Anugerah Kembara.

Anugerah Khalifah pula diterima Raihan berikutan pelbagai kejayaan mereka sepanjang dua dekad dalam industri muzik.

Pemenang beberapa kategori lain pula ialah Artis Nasyid Baharu Pilihan dimenangi Aniq Muhai, Anugerah Nasyid Nusantara Pilihan (Sabyan), Rakaman Lagu Nasyid Terbaik (Amin Nordin menerusi lagu Sakit) serta Susunan Muzik Nasyid Terbaik dimenangi Omar K.

 ITO Lara bersama trofi selepas dinobatkan Lirik Nasyid Terbaik.
ITO Lara bersama trofi selepas dinobatkan Lirik Nasyid Terbaik.

ANAM 2020 dihoskan Fara Fauzana dan Hafiz Hamidun.
ANAM 2020 dihoskan Fara Fauzana dan Hafiz Hamidun.

ANAM 2020 dianjurkan buat kali pertama oleh Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan RTM selaku penyiar rasmi.

Dihoskan Hafiz Hamidun dan Fara Fauzana, ANAM 2020 turut disokong Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP sebagai rakan strategik.

Penjurian ANAM 2020 pula membabitkan lapan juri profesional daripada kalangan penggiat muzik berpengalaman dan tanggungjawab ketua juri digalas Farihin Abdul Fatah.

Antara selebriti yang tampil di pentas menyampaikan anugerah kepada pemenang adalah Altimet, Datuk Nash, Along Exists, Imam Muda Ashraf, Munif Hijjaz dan Ustaz Amal.

Bagi memeriahkan acara, barisan penyanyi yang membuat persembahan ialah Raihan, Rabbani, Hijjaz, Brothers dan Inteam ternasuk Datuk Jamal Abdillah, Naim Daniel, Khai Bahar, Colour of Voices, Saujana dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 6:50 AM