Tiga sahabat berkongsi minat sama membantu pencinta kucing. FOTO Dadycat.
Tiga sahabat berkongsi minat sama membantu pencinta kucing. FOTO Dadycat.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bukan hanya berkongsi minat sama iaitu sukakan kucing, tiga sahabat ini turut mencari rezeki bersama-sama dengan menjadi perantara dalam urusan pembelian dan kemasukan kucing import ke negara ini.

Nazrul Afandi Nadzemi, 30, Muhammad Nazmi Jamil, 29, dan Izzat Azar Ahmad Tahir, 30, bertanggungjawab memastikan haiwan comel pelbagai jenis baka itu yang ditempah pelanggan tiba dengan selamat dan sihat.

Nazrul Afandi selaku pengasas perkhidmatan itu berkata, Dadycat sudah beroperasi sejak 2016 yang awalnya hanya bergerak sendiri sebelum dia berkongsi dengan dua lagi rakan dalam meluaskan perniagaan mereka.

"Sebelum ini saya hanya tunaikan permintaan isteri yang mahukan kucing jenis British Short Hair (BSH), tetapi saya nampak peluang untuk jana pendapatan dengan membantu pencinta kucing mendapatkan baka kucing import.

"Saya cuba nasib dan Alhamdulillah, percubaan saya itu berhasil. Memang permintaan tinggi tetapi pandemik Covid-19 memberi kesan apabila kucing daripada luar negara tidak dapat dibawa masuk ke sini.

"Disebabkan itu saya hentikan seketika perkhidmatan ini tahun lalu," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Nazrul Afandi berkata, selepas setahun berehat, dia kembali menawarkan perkhidmatan itu bersama Muhammad Nazmi dan Izzat Azar, bahkan mereka menerima sambutan memberangsangkan iaitu antara 10 hingga 20 tempahan dalam sebulan.

"Saya kembali jenamakan semula perkhidmatan ini pada Ogos lalu dan Alhamdulillah, maklum balas diterima positif," katanya yang memberitahu kepercayaan menjadi cabaran itu dalam bisnes mereka, memandangkan semua urusan dilaksana dalam talian dan berhubung dengan ejen di luar negara.

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak berhadapan masalah dan pelanggan meletakkan kepercayaan tinggi dalam mendapatkan perkhidmatan mereka.

Sementara itu, Izzat Azar berkata, dia dan Muhammad Nazmi sebelum ini bersama-sama menjual menjual ayam goreng sos keju, namun pandemik Covid-19 menjejaskan mereka.

Katanya, mereka menyertai Nazrul Afandi untuk perkhidmatan itu yang dianggapnya menyeronokkan kerana berurusan dengan pelbagai jenis pelanggan.

"Kami membawa masuk pelbagai jenis baka kucing import antaranya BSH, Scottish Fold, Bengal, Ragdoll, Maine Coon, Munchkin, Sphinx dan Bambino yang datangnya dari negara Rusia, Belarus, Ukraine serta lain-lain lagi.

"Pelanggan akan beri contoh gambar kucing yang ingin ditempah menerusi kiriman di WhatsApp jadi kami akan cuba mendapatkan apa yang diinginkan. Kami perlu sabar dan tenang kerana kepuasan mereka paling utama," katanya yang turut memperkenalkan perkhidmatan itu di TikTok.

Bagi Muhammad Nazmi, dia menghargai pencinta kucing dan haiwan peliharaan yang tidak kisah melabur wang untuk memiliki kucing import idaman.

Untuk itu, katanya, dia mahu perkhidmatan mereka berkembang luas dan menjadi pilihan pencinta kucing.

"Melihat sambutan ini, tidak mustahil jika selepas ini kami membawa masuk haiwan lain seperti kuda, anjing atau haiwan eksotik bagi memenuhi permintaan pencinta haiwan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 8:59 PM