FREDDIE. FOTO Arkib NSTP
FREDDIE. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) memberi tempoh masa tiga bulan kepada pengurusan Recording Performers Malaysia (RPM) untuk menyelesaikan masalah royalti tertunggak sebanyak RM11 juta yang membabitkan Jabatan Insolvensi, selain mengagihkan wang royalti dalam akaun bank RPM sebanyak RM26 juta.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, RPM sudah membazirkan masa selama sembilan bulan tanpa melakukan apa-apa kerja pengagihan kepada penerima.

"Apabila melihat ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli, RPM hanya ambil jalan mudah dengan mengagihkan satu jumlah kecil sama rata kepada semua ahli.

"Jika Karyawan tidak lihat apa-apa perkembangan dalam perkara terbabit, kita akan teruskan dengan usaha untuk minta satu Mesyuarat Agung Luar Biasa dianjurkan di mana resolusi sudah diperoleh daripada ahli untuk minta Ahli Lembaga Pengarah letak jawatan dengan serta-merta.

"Kami hanya perlukan beberapa tandatangan saja lagi daripada ahli untuk lakukan demikian tapi akan berikan masa kepada Ahli Lembaga Pengarah RPM untuk selesaikan masalah royalti antara ahli RPM dan Prism Bhd (Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad) di mana sejumlah besar wang masih berada dalam kawalan Jabatan Insolvensi dan tidak dapat diagihkan kepada ahli kedua-dua badan itu," katanya kepada Harian Metro.

Freddie berkata, Karyawan juga berharap semua ahli Prism yang layak mendapat royalti akan diberi peluang mendaftar sebagai ahli RPM dan pengurusan RPM pula akan mengambil berat berkenaan soal ini. "Wang yang ada dalam kawalan Jabatan Insolvensi itu tidak termasuk hampir RM26 juta lagi yang patut diagihkan kepada ahli RPM hasil dari kutipan MRM (Music Rights Malaysia) dari tahun 2017 hingga 2019.

"Kami ingin melihat apakah tindakan Ahli Lembaga Pengarah untuk mengagihkan royalti itu dan sekiranya gagal membuat sesuatu kami akan bertindak. Masa goyang kaki dan tunggu orang lain buat kerja sudah berakhir. Sekarang pengurusan RPM kena turun padang dan membuat kerja-kerja yang diperlukan.

"Langkah yang pertama yang harus dilakukan ialah untuk menambah kakitangan untuk melakukan kerja-kerja kutipan dan pengagihan. Empat kakitangan sedia ada sudah pasti tidak mencukupi dan mencerminkan betapa jahilnya pengurusan RPM apabila mengharapkan empat kakitangan melakukan tugas seberat itu, sedangkan badan lain ada lebih 30 kakitangan untuk lakukan kerja-kerja yang sama" katanya.

Freddie berkata, dalam Mesyuarat Agung Tahunan RPM yang berlangsung Isnin lalu, Pengerusinya, Datuk Sheila Majid menjanjikan perkara yang positif.

"Sheila berjanji mempertingkatkan usaha dan memperbaiki prestasi untuk lakukan kerja-kerja yang diperlukan untuk menjaga hal kutipan serta pengagihan bagi pihak ahli yang berdaftar.

"Pihak kami akan melihat dan memantau prestasi mereka. Jika tiada sebarang perubahan dalam tiga bulan ini kami akan bertindak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 4:24 PM