DATUK Freddie Fernandez.
DATUK Freddie Fernandez.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tidak berpuas hati dengan penjelasan Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid berhubung isu kelewatan agihan royalti ahli berjumlah RM21 juta yang dibangkitkan mereka sebelum ini.

Ahli Karyawan dan pemuzik, Rafi Mohd mempertikaikan sidang akhbar yang diadakan RPM semalam yang pertama kali diaturkan Sheila selepas sembilan tahun kewujudan RPM.

"Sebagai Pengerusi, dia tidak pernah mengadakan sebarang sidang akhbar untuk memberi penerangan berkenaan perjalanan RPM dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Ini kerana dari awal penubuhan RPM sehingga sekarang, segala kerja-kerja kutipan dan pengagihan RPM dilakukan oleh pihak lain dan bukan oleh mereka.

"Sheila dan lembaga pengarah RPM hanya duduk goyang kaki dan menerima wang. Pada tahun-tahun awal, kerja-kerja kutipan dan pengagihan dilakukan oleh satu badan lain iaitu PPM (Public Performance Malaysia)," katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.

Ia turut disertai Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan ahli Karyawan iaitu penyanyi, Salwa Abdul Rahman dan Rozita Rohaizad.

Semalam, Sheila menerusi sidang media secara maya melahirkan perasaan kecewa dengan khabar angin mengatakan RPM penipu dan makan duit.

Dia juga mendakwa difitnah dengan tuduhan tidak berasas sehingga terpanggil untuk mengadakan sidang media. Sheila turut menafikan dia dan barisan ahlinya tidak pandai membuat kerja kerana mustahil kutipan royalti dapat dibuat tanpa gerakan kerja.

Rafi berkata, Sheila dan ahli lembaganya tidak mengetahui apa-apa mengenai kutipan dan pengagihan kerana sebelum ini ia dilakukan oleh PPM.

"Selepas Music Right Malaysia (MRM) ditubuhkan, PPM tidak lagi buat pengagihan untuk RPM dan mereka kena buat sendiri. Di sinilah masalah muncul dan terbongkar kelemahan pengurusan RPM. "MRM berjaya kutip RM140 juta dari tahun 2017 hingga 2019. Dari jumlah ini lebih RM30 juta perlu diberikan kepada syarikat yang mewakili artis iaitu RPM dan Prism Bhd.

"Malangnya mahkamah mengarahkan Prism menutup operasi pada 2018 kerana tidak dapat membayar gantirugi RM1.6 juta dalam satu kes saman yang dibawa oleh PPM terhadap mereka," katanya.

Menurut Rafi, selepas Prism ditutup, semua royalti artis yang dikutip MRM disalurkan kepada RPM tanpa mekanisme pengagihan yang baik apabila hanya wang yang masuk, tetapi tanpa pengagihan secara teratur dan konsisten.

"Sekarang apabila ada wang sebanyak itu dalam bank daripada MRM, mereka terus tidak lakukan apa-apa kerja pengagihan sehingga wang dalam bank meningkat kepada RM21 juta.

"Jelas bahawa mereka tidak tahu bagaimana hendak melakukannya mengikut penggunaan muzik dan lagu ahli di tempat awam seperti radio, televisyen, kelab dan hotel. Tiba-tiba mereka mengumumkan bayaran sama rata kepada semua ahli dalam bentuk UPA (unlogged performance allocation)," katanya. Menurutnya, UPA disediakan untuk memberi sedikit imbuhan kepada ahli yang tidak mendapat royalti sekiranya lagu-lagu mereka tidak keluar dalam mana-mana sampel pengagihan.

"UPA ini selalunya dibayar semasa proses bayaran royalti sebenar dibuat. Ia bukan secara berasingan seperti yang dilakukan RPM.

"Dalam badan lain seperti MACP tidak pernah ada kes di mana ada hanya UPA dibayar sebagai royalti. Namun, atas desakan ahli yang sudah lama tidak mendapat royalti, lembaga RPM membuat tindakan bayar UPA sahaja untuk tutup mulut ahli dan bukan royalti sebenar untuk tiga tahun iaitu 2018, 2019 dan 2020. "Persoalannya kenapa nak bayar UPA untuk 2018 pada tahun ini. Kenapa tidak dibayar pada 2019?," katanya.

Freddie pula berkata, keputusan ini jelas dipengaruhi selepas tindakan beberapa ahli kepada Pengerusi dan Lembaga Pengarah meletakkan jawatan dalam resolusi yang sudah ditandatangani lebih 240 ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 10:05 PM