Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kempen Usahawan Buletin FM anjuran Buletin FM menerima penyertaan serta idea perniagaan luar biasa daripada seluruh Malaysia selepas dibuka secara rasmi pada 6 September lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran berkata setakat ini lebih 130 penyertaan diterima sekali gus hampir melangkaui angka sasaran awal mereka.

"Kami mensasarkan 150 penyertaan saja kerana tarikh tutupnya pun pada 4 Oktober nanti. Nampaknya angka itu mungkin akan melebihi sasaran berkenaan kerana penyertaan terus masuk.

"Memang tidak jangka sambutannya begitu luar biasa. Lebih menarik, idea dan pelan perniagaan yang kami terima sangat kreatif dan juga bertaraf antarabangsa.

"Rakyat Malaysia ini sebenarnya memang sangat kreatif. Alternatif dan solusi yang diutarakan begitu mengagumkan selain cerita mereka juga sangat menyentuh," katanya.

Nazri memaklumkan, penyertaan diterima juga bukan daripada kalangan peniaga baharu atau berpengalaman semata-mata. Sebaliknya, latar belakang peserta rata-rata daripada golongan profesional.

"Ada yang asalnya pernah jadi juruterbang, pengurus korporat, peruncitan dan kerjaya profesional lain. Namun disebabkan pandemik, sekali gus mencetuskan mereka untuk tampil dengan idea perniagaan hebat.

"Idea mereka pun bukannya klise seperti makanan semata-mata. Sebaliknya, tampil dengan idea perniagaan barangan keperluan yang mana mampu membawa jenamanya ke peringkat antarabangsa jika dapat sokongan betul," katanya.

Nazri memaklumkan, panel penilai untuk peserta juga terdiri daripada kalangan nama-nama hebat dan profesional dalam dunia perniagaan. Mereka bertanggungjawab menapis peserta mana benar-benar layak ke peringkat seterusnya.

KETUA Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran.
KETUA Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran.

"Kami sasarkan mungkin 16 peserta akan disenaraipendek untuk peringkat saringan seterusnya. Kemudian empat finalis akan bertanding pada pentas akhir," katanya.

Pusingan akhir dijadualkan berlangsung pada 15 Oktober nanti. Dua pemenang bakal menerima hadiah wang tunai RM25,000 berserta hadiah tajaan pengiklanan dan pemasaran bernilai RM175,000.

Kempen Usahawan Buletin FM ini bertujuan  membantu orang ramai  memulakan perniagaan baharu atau mereka yang ingin mengembangkan perniagaan sedia ada.  

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:31 PM