TANGKAP layar MV lagu Tinggalkan Diriku.
TANGKAP layar MV lagu Tinggalkan Diriku.
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: Muzik video (MV) lagu Tinggalkan Diriku yang memuatkan perbualan terakhir pelawak Shuib dan isterinya Allahyarham Siti Sarah mencatat lebih sejuta tontonan dalam tempoh dua hari.

Single rakaman nyanyian Sarah semasa menjalani latihan pada showcase di MATIC, di sini tiga tahun lalu berjaya meruntun hati banyak pihak. 

Single Tinggalkan Diriku nyanyian Siti Sarah yang dimuat naik menerusi laman Youtube pada Jumaat lalu itu turut dimuat naik semula oleh beberapa selebriti tempatan.

"Enam hari selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah, saya mendengar rakaman lagu Tinggalkan Diriku yang dirakam ketika sesi latihan untuk showcase Siti Sarah pada tahun 2018.

"Dalam MV ini saya selitkan perbualan akhir bersama Siti Sarah untuk memberikan kata-kata semangat dan memujuk arwah untuk ditidurkan.

"Ini adalah momen paling sukar dalam hidup saya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak. Perbualan itu melambangkan pengorbanan besar seorang ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak," katanya.

Dalam rakaman perbualan terakhir yang dikongsi itu, Shuib meminta isterinya untuk kuatkan diri berdepan ujian penyakit itu.

Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia pada 9 Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19.

Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu yang diberi nama Ayash Affan.

Selain Ayash, Allahyarham meninggalkan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:26 PM