WATIE (kiri) dan Shuib. FOTO Arkib NSTP
WATIE (kiri) dan Shuib. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib iaitu Watie Hanifiah, 36, bermimpi dapat bertemu dengan Allahyarham Siti Sarah baru-baru ini.

Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah berkata, dia tidak sangka timbul juga rasa cemburu ketika itu kerana risaukan arwah mahu bersama Shuib dan anak-anak semula.

"Baru-baru ini, saya ada mimpikan arwah Sarah. Dalam mimpi itu hanya ada saya, arwah dan abah (Raisuddin Hamzah). Tapi, arwah hanya berdiam diri dan melihat saya.

"Dalam mimpi itu, wujud satu perasaan risau, adakah dia kembali untuk ambil semula haknya iaitu Shuib dan anak-anak. Masa itu memang dalam hati rasa begitu, tapi saya sorok perasaan itu.

"Sebelum tegur dan tanya pada arwah, 'tak mahu jumpa anak-anak ke? Mereka rindu'. Arwah tak balas tetapi hanya memandang saja," kongsinya sewaktu ditemui pada majlis iftar Indigital Music x FYP Media, di sini, semalam.

Menurut Watie, mimpi berkenaan mungkin tercetus selepas anak perempuannya, Dzahira Talita Zahra memberitahu turut bermimpi arwah Siti Sarah.

Usahawan terbabit tidak sangka rasa cemburu itu wujud juga kerana realitinya dia memang tidak pernah menyimpan perasaan yang sedemikian.

"Itu pertama kali saya terfikir bahawa dalam mimpi pula yang ada perasaan risau itu. Secara realitinya tak cemburu pun, tapi dalam mimpi pula cemburu.

"Selepas cerita pada Shuib dan tanya dia kalau disuruh buat pilihan, dia pilih siapa? Dia hanya diam dan kata mengarut saja. Kemudian kami berborak banyak benda mengarut, bergelak ketawa tapi jangan risau semuanya okay saja," katanya.

Terdahulu, Shuib mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011. Allahyarham meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Shuib kemudian berkahwin dengan Watie pada pada Jun 2023 selepas mendapat restu daripada semua pihak termasuk anak-anaknya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 5:59 PM