Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 67.4 peratus atau 15,772,760 individu daripada populasi dewasa di negara ini sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan, 36,141,604 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.

Menurut JKJAV, 20,401,824 individu di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 300,501 dos dengan 134,559 daripadanya merupakan dos pertama daripada vaksin dua dos manakala 165,942 adalah dos lengkap.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 9:49 AM