Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Hidayat TV dengan kerjasama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) akan menganjurkan majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat secara maya jam 9.30 malam esok.

Pengerusi Irama, Ayob Abd Majid berkata, program ini ditujukan buat rakyat Malaysia terutamanya penggiat seni yang sedang diuji oleh pandemik Covid-19 sama ada dari segi kesihatan, ekonomi mahupun kekuatan jiwa.

"Rakyat Malaysia termasuk yang berada dalam industri hiburan sekarang berdepan pelbagai masalah membuatkan ramai yang terkesan dan terpaksa meminta bantuan.

"Tidak kurang juga, walaupun menjaga SOP (prosedur operasi standard) ada yang kurang bernasib baik terkena jangkitan Covid-19 sehingga membawa kematian.

"Justeru ada baiknya kita menganjurkan program ini untuk memohon kepada Allah agar menjauhkan kita daripada sebarang perkara tidak diingini," katanya.

Menurut Ayob, majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat ini akan turut disertai barisan selebriti antaranya Datuk Nash, dR Sam, Che Am Raihan, Anjang Terra Rossa, Aris Ariwatan, Affa Nico G, Shamsul Ghau Ghau dan ramai lagi.

AYOB
AYOB

"Program secara langsung ini terbuka kepada umum dan boleh diikuti melalui Facebook dan Instagram Hidayat TV dan saluran Youtube Hidayat TV.

"Hidayat TV adalah rangkaian penyiaran digital yang ditubuhkan bersama dua penyampai radio dan pengacara, Faizal Ismail atau FBI dan Krill Rashid.

"Saluran menerusi platform media sosial ini akan menyajikan program-program berbentuk keagamaan yang berkisar ke arah kebaikan dan kehidupan yang lebih baik," katanya.

Hidayat TV juga akan menyingkap kisah sirah Nabi dan Rasul dan berkongsi pengalaman bersama selebriti dan orang awam yang sudah berhijrah.

"Hidayat TV akan beroperasi secara rasmi bermula 2 September ini. Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat ini juga adalah majlis pra-pelancaran kepada Hidayat TV," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 5:04 PM