HIDAYAT (kiri) yakin Erry mampu jelmakan pingat buat kontinjen negara di Gold Coast. -Foto fail
HIDAYAT (kiri) yakin Erry mampu jelmakan pingat buat kontinjen negara di Gold Coast. -Foto fail
Jumiati Rosly

KE MANA tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Itulah peribahasa yang menggambarkan Hidayat Hamidun dan anaknya, Muhd Erry.

Selepas genap 20 tahun Hidayat menghadiahkan pingat emas dalam sukan angkat berat di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 (KL ‘98), dia berharap giliran anaknya itu mengikut jejak langkahnya dengan menjulang nama Malaysia di Gold Coast, esok.

Menariknya, anak sulungnya itu akan bertanding kategori 69 kilogram (kg) - sama dengannya ketika memenangi satu pingat emas, satu perak serta memperbaharui rekod temasya dalam kategori 69 kilogram (kg) dengan angkatan keseluruhan 295 kilogram pada KL ‘98.

“Biarpun Erry baru berumur 18 tahun dan antara atlet angkat berat termuda di Gold Coast, saya yakin Erry mampu membawa pulang pingat.

“Saya banyak menasihatkannya supaya tidak gentar dan jangan memberi tekanan pada diri sendiri. Malah saya meminta dia fokus kepada angkatan sendiri dan jika ada rezeki, dia boleh menang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Untuk rekod, angkat berat tidak pernah gagal menghadiahkan sekurang-kurangnya satu emas pada temasya kedua terbesar dunia itu sejak Hidayat menghadiahkan emas pada KL ‘98 dalam acara clean and jerk.

Erry mendapat ‘lampu hijau’ untuk beraksi di Gold Coast bagi menggantikan Hafifi Mansor yang digantung empat tahun kerana kesalahan doping.

Hidayat berkata, beliau sempat menurunkan pengalaman serta nasihat buat anaknya itu dalam masa dua hari selepas dia kembali menjalani latihan selama dua bulan di Balikpapan, Indonesia dan sebelum bertolak ke Gold Coast.

“Saya banyak nasihatkan daripada aspek psikologi, saya minta dia menganggap tempat pertandingan itu nanti seperti di tempat sendiri kerana menurut pengalaman saya, penonton di Australia memberi sokongan yang baik termasuk kepada peserta luar,” katanya yang memenangi perak di Melbourne 2006.

Menceritakan bakat yang diwarisi anaknya dalam sukan angkat berat, Hidayat berkata arwah ayahnya yang juga jurulatihnya dahulu mengenalpasti bakat Erry ketika dia baru berusia tiga tahun lagi.

“Ayah saya selalu berkata yang Erry akan jadi hebat, lebih hebat daripada saya satu hari nanti. Bagi saya, dengan pendedahan dan latihan yang betul, Erry akan berada di kemuncak prestasinya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi,” katanya.

Hidayat mengakui dia sepatutnya mahu memberi kejutan kepada Erry dengan hadir menyaksikannya bertanding, namun hajat itu tidak kesampaian kerana menghadapi masalah visa pada saat akhir sekali gus hanya mampu berdoa anaknya itu dapat mengharumkan nama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 6:48 PM