Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia perlu teguh bersama berjuang untuk terus memerangi 'peperangan besar' Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan melakukan apa saja yang diperlukan bagi memastikan negara keluar segera daripada pandemik ini.

Menurutnya, rakyat Malaysia perlu terus teguh bersama berdepan dengan wabak ini dan bersemangat mengharungi cabaran.

"Sistem kesihatan awam masih kekal berdiri dan usaha kerajaan dengan bantuan pelbagai pihak di seluruh negara kita sudah mula fasa pertama proses pemulihan negara.

"Ini adalah harapan baru yang kita akan usahakan dan saya bangga betapa cekal semangat juang saudara saudari (rakyat Malaysia)," katanya dalam Program Mega PKRC Berselawat yang diadakan secara maya, pagi ini.

MUHYIDDIN Yassin. FOTO Ihsan FB
MUHYIDDIN Yassin. FOTO Ihsan FB

Program berkenaan dianjurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membabitkan 89 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) seluruh negara.

Program yang dipimpin Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Ikmal Zaidi Hashim turut disertai jemaah menteri, ketua jabatan, petugas barisan hadapan dan pesakit yang menerima rawatan di PKRC seluruh negara.

Muhyiddin berkata, petugas barisan hadapan dan pesakit yang sedang dirawat perlu bersemangat untuk berdepan cabaran wabak ini.

Katanya, peperangan besar ini tidak mungkin berjaya tanpa pengorbanan besar dari kita semua.

"Bersedialah kita berjuang untuk membela nasib rakyat yang terkesan dan apa saja boleh yang boleh kerajaan akan lakukan untuk rakyat Malaysia," katanya.

BACAAN doa ketika Program Mega PKRC Berselawat. FOTO Ihsan FB
BACAAN doa ketika Program Mega PKRC Berselawat. FOTO Ihsan FB

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 9:42 AM