Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Syarikat pengurusan Indigital Music mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat secara dalam talian untuk penyanyi, Siti Sarah, 37, bermula jam 8 malam ini.

Wakil syarikat pengurusan Siti Sarah, Indigital Music berkata, majlis bacaan Yasin itu turut disertai Ustaz Ahmad Salahuddin Harun dan Datuk Dr Fadzillah Kamsah. 

"Ramai yang sedia maklum, sahabat kita, Siti Sarah kini sedang bartarung nyawa melawan virus Covid-19 dan Sarah selamat melahirkan seorang bayi lelaki kira-kira jam 5 petang tadi. 

"Mohon doa semua untuk diberikan aafiyah, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.

"Bersama Ustaz Ahmad Salahuddin Harun dan turut disertai Datuk Dr Fadzillah Kamsah, pinjamkan masa dan kekuatan untuk menyertai sesi bacaan Yassin ini," katanya. 

Dalam kenyataan sama, pihak Indigital juga mengajak seluruh masyarakat agar mendoakan sahabat-sahabat yang turut berjuang melawan Covid-19.

"Kita sama-sama usahakan buat sahabat kita dan juga mana-mana rakan yang kini sedang bertarung melawan virus ini. Insya-Allah, Allah akan mendengar rintihan dan permintaan kita," katanya. 

Selain Indigital Music, penyanyi, Datuk Nora Ariffin turut menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin secara dalam talian pada malam ini. 

"Baru-baru ini, terlalu banyak khabar duka kita dengar akibat Covid-19 yang melanda negara kita. 

"Rakan-rakan artis juga turut menerima ujian dengan wabak Covid-19 ini antaranya, Siti Sarah dan Shuib sekeluarga, Fazli Zainal, Aeril Zafrel serta seluruh sahabat-sahabat kita. 

"Dengan rendah hati, saya ingin menjemput rakan-rakan taulan serta ahli keluarga untuk bersama-sama memanjatkan doa buat mereka yang dilanda ujian ini," katanya. 

Majlis doa selamat dan bacaan Yassin itu akan dipimpin oleh Dr Rushdi Ramli bermula jam 9 malam. 

Di Instagram, ramai selebriti yang turut berkongsi doa dan meniup semangat kepada Siti Sarah yang kini dalam keadaan kritikal selepas menjalani proses bersalin menerusi pembedahan petang tadi. 

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Siti Sarah sekeluarga disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif. 

Sarah kemudiannya dikejarkan ke hospital apabila tahap kandungan oksigen yang semakin menurun. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 7:06 PM