SHUIB
SHUIB
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Hasrat pelawak dan pelakon popular, Shuib untuk melawat bayinya, Ayash Affan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) buat pertama kali semalam tidak kesampaian apabila tidak dibenarkan berbuat demikian.

Shuib dalam majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin yang berlangsung secara virtual malam tadi berkata, dia dihubungi oleh Pengarah HCTM pagi semalam memaklumkan perkara itu.

"Sepatutnya hari ini (semalam) saya dapat berjumpa, namun beliau menjelaskan sudah berbincang dengan doktor dan mendapati keadaan di situ berisiko tinggi kerana Covid-19.

"Jadi dia kata untuk lebih selamat, dia cuba tunda lagi perjumpaan ini. Namun, beliau akan cuba dapatkan gambar dan video kerana anak-anak saya, Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6, hari-hari bertanya mengenai adik mereka.

"Saya lagilah nak sangat tengok. Apapun saya bersyukur keadaan Ayash Affan stabil. Mereka sudah melakukan dua ujian swab terhadapnya dan keputusannya negatif. Doakan yang terakhir juga (kali ketiga) akan negatif, Insya-Allah," katanya.

Ditanya berapa lama bayi itu akan berada di hospital, Shuib berkata, semuanya bergantung dengan perkembangan kesihatan Ayash.

Menurut Shuib, berat Ayash kini 1.8 kilogram dan dalam tempoh sebulan dia boleh pulang ke rumah.

"Saya juga berharap sekurang-kurang dapat gambar dan video anak saya esok (hari ini). Pengarah HCTM berkata, dia akan cuba sebaik mungkin. Cuma, buat masa sekarang tidak sesuai untuk mereka mengambil gambar Ayash. Mereka bimbang saya akan sedih melihat keadaannya.

Majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual itu diketuai Ustaz Fakhrul UNIC dan bacaan doa daripada Ustaz Tarmizi Abdul Rahman diikuti tazkirah oleh Ustaz Shahrizan.

Turut serta ialah rakan media dan rakan artis antaranya Zizan Razak dan Ziana Zain. Ia turut ditayangkan secara langsung di Instagram Shuib dan Facebook Indigital Music.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:37 AM