Scarlett Johansson saman Disney.
Scarlett Johansson saman Disney.
Agensi

 

Los Angeles: Pelakon Scarlett Johansson, 36, menyaman Disney selepas konglomerat media itu memutuskan untuk menayangkan filem Black Widow menerusi platform penstriman itu serentak di panggung.

Alasan Johansson mengambil tindakan itu adalah kerana Disney jelas melanggar kontrak perjanjian mereka sekali gus menyebabkan kerugian berjuta-juta terhadap aktres terbabit.

Menjadi antara aktres paling mahal di Hollywood, dia sepatutnya layak mendapat peratusan keuntungan hasil daripada jualan tiket pecah panggung. Saman itu difailkan di mahkamah di sini, semalam.

Menerusi saman yang difailkan itu, Johansson dilaporkan cuma mahu melindungi faedah kewangannya. Dia mempertikai Marvel yang berjanji penayangan Black Widow cuma akan dibuat secara teatrikal dan bukan secara penstriman.

Filem berkenaan asalnya dilancarkan di layar besar pada tahun lalu. Bagaimanapun, ia terpaksa ditunda beberapa kali disebabkan penularan Covid-19 sebelum diputuskan turut ditayangkan menerusi platform Disney+.

"Tidak disangkal, Disney melancarkan beberapa filem termasuk Black Widow ke Disney+ demi menarik lebih banyak pelanggan. Sekali gus, ia melonjakkan nilai saham syarikat itu dan jadikan alasan Covid-19 di sebalik keputusan terbabit.

"Hal ini semestinya bukan kes penamat di mana ramai lagi bintang Hollywood akan tampil untuk mempertikaikannya. Apa juga helah Disney, ia melanggar undang-undang dan mereka sepatutnya menghormati kontrak ditetapkan," kata peguam Johansson, John Berlinski.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 11:16 AM