HARAP watak Nicole menerusi filem Marriage Life mampu ‘menghilangkan’ sebentar Black Widow.
HARAP watak Nicole menerusi filem Marriage Life mampu ‘menghilangkan’ sebentar Black Widow.
Ardini Sophia Sina


SCARLETT Johansson bukan hanya bintang ternama di peringkat antarabangsa, tetapi antara pelakon kelas A yang mendapat bayaran tinggi di Hollywood.

Perkembangan kerjaya seninya itu disebabkan impak besar daripada lakonannya sebagai Black Widow dalam siri Avengers terbitan Marvel Cinematic Universe (MCU).

Lebih dikenali dengan watak berkenaan, peminat kini sukar membayangkan dia membawakan watak berbeza menerusi projek baharu.

Malah, peminat juga tidak mahu Black Widow dibawakan pelakon lain.

Scarlett dalam satu temu bual berkata, itulah salah satu keburukan apabila melakonkan watak sama dalam tempoh yang lama. Peminat sukar membuang watak berkenaan daripada memori mereka walaupun menonton cerita lain.

“Saya mula membawa watak Black Widow sejak 2010 dalam filem Iron Man 2. Sembilan tahun bukanlah jangka masa yang singkat. Tahun ini juga filem Black Widow bakal ditayangkan April nanti. Watak itu sudah cukup sebati dalam diri.

“Saya seronok membawanya apatah lagi ia membabitkan babak aksi. Ia membantu saya untuk terus terbang tinggi.

“Bagaimanapun, setiap kali berlakon dalam cerita lain, peminat menikmati naskhah berkenaan, tetapi watak yang saya bawakan tidak ‘melekat’ dalam memori kerana bagi mereka saya adalah Black Widow,” katanya.

Situasi itu sangat mencabar kerana dia perlu keluar sepenuhnya daripada Black Widow bagi menjayakan watak baharu dan membuatkan penonton ingat watak lain lakonannya.

Terkini, Scarlett tampil dengan filem Marriage Life untuk tayangan Netflix membawa watak sebagai Nicole, bekas pelakon popular yang mula mengenali dirinya selepas bercerai dengan suaminya.

“Berlakon dalam filem itu membuatkan saya mengenang kembali kehidupan ketika berpisah dengan bekas suami, Romain Dauriac pada pertengahan 2016.

“Tidak ada perbezaan ketara ketika masih bersama dan selepas berpisah, tetapi perasaan sunyi itu tetap ada.

“Saya juga meragui sama ada keputusan untuk berpisah itu tindakan yang bijak atau sebaliknya.

“Menjaga anak seorang diri tanpa kehadiran dan dibantu suami dalam tempoh yang lama adalah sangat sukar. Saya bertanya kepada diri sendiri, bagaimana perkara ini boleh terjadi? Namun, saya berjaya melalui saat pahit itu,” katanya.

Walaupun Marriage Life mengingatkan cebisan sejarah masa lalunya, Scarlett bagaimanapun menerima watak berkenaan kerana filem berkenaan adalah genre komedi romantik.

Scarlett berharap watak Nicole mampu ‘menghilangkan’ sebentar Black Widow kerana ia adalah dua watak yang sangat berbeza.

Nicole adalah wanita yang suka berjenaka sedangkan Black Widow seorang yang serius.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 5:30 AM