Michelle Gun


Berita pelakon popular Scarlett Johansson membeli kediaman di Naperville, Illinois, Amerika Syarikat membuatkan ramai penduduk kawasan terbabit teruja.

Bagaimanapun, berita itu tidak benar sama sekali dan sengaja direka sebuah portal yang mendakwa Johansson sudah muak menetap di Los Angeles.

Menerusi ruangan komen berita terbabit, ramai penduduk Naperville mengalu-alukan kehadiran aktres jelita itu dalam komuniti mereka.

Walaupun bukan di Naperville, pelakon watak Black Widow itu sememangnya ada membeli kediaman bernilai RM16 juta di Los Angeles tahun lalu.

Majalah Variety melaporkan Johansson turut memiliki apartmen bernilai RM8.41 juta di Manhattan dan sebuah rumah berharga RM8.81 juta di Hamptons.

Bagaimanapun, majalah itu tidak melaporkan pembelian rumah di Naperville seperti didakwa portal terbabit.

Sebelum ini, timbul beberapa khabar angin mendakwa Johansson merancang membeli rumah di beberapa bandar antaranya Oklahoma City dan Kalamazoo, Michigan.

Dalam perkembangan lain, peminat Johansson mahu Marvel Studios menghasilkan filem memfokuskan kisah anggota Avenger, Black Widow.

Tinjauan portal USA Today mendapati 48 peratus daripada 1,000 penonton filem Captain America: Civil War mahu menyaksikan filem mengenai Black Widow.

Selepas Captain America: Civil War, Johansson bakal membintangi filem The Beautiful and the Damned sebagai sosialit Zelda Fitzgerald.

Filem itu menceritakan pergolakan hubungan F Scott Fitzgerald dan Zelda Sayre.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:01 AM