Norhayati Nordin

norhayati

KEMERIAHAN kemunculan 2020 semestinya turut mewarnai gelanggang seni tanah air dengan penayangan filem hebat dari Hollywood dan tempatan.

Apatah lagi, tahun ini bakal menyaksikan beberapa karya Marvel popular menemui penonton setia.

Seperti biasa, karya tempatan dengan pelbagai genre akan berentap dengan filem antarabangsa di panggung.

Berikut 10 filem menarik untuk tontonan sepanjang 2020 yang dinanti ramai.

MULAN
MULAN

1. Filem: Mulan

Genre: Aksi, pengembaraan, drama

Pengarah: Niki Caro

Pelakon: Yifei Liu, Donnie Yen, Jet Li, Gong Li, Jason Scott Lee dan Nelson Lee

Mulan adalah animasi popular Disney yang mengangkat kisah perjuangan seorang gadis yang sanggup berkorban demi keluarga tercinta.

Pada 1998, Mulan pernah difilemkan dan mendapat sambutan hangat di seluruh dunia dan mencatat kutipan pecah panggung.

Selepas 20 tahun berlalu, karya yang diadaptasi daripada animasi klasik ini akan ditayangkan di pawagam pada Mac nanti. Ikuti kisah Mulan dalam usaha menyelamatkan maruah keluarga dan tanah airnya.


2. Filem: James Bond: No Time To Die

Genre: Aksi, pengembaraan, triller

Pengarah: Cary Joji Fukunaga

Pelakon: Daniel Craig, Ana de Armas, Ralph Fiennes, Rami Malek, Lea Seydoux dan Ben Whishaw

Aktor berpengalaman sebagai hero aksi, Daniel Craig kembali semula dengan karya terkini James Bond: No Time To Die.

Mengisahkan Bond yang sudah meninggalkan kerjaya sebagai perisik berkhidmat semula untuk membantu rakan lamanya.

Seiring dengan kecanggihan dunia, Bond harus menjejak penjahat misteri yang menggunakan senjata berteknologi tinggi berbahaya.

Filem ini akan menggegarkan pawagam tempatan pada awal April nanti.

Black
Black


3. Filem: Black Widow

Genre: Aksi, pengembaraan, sains fiksyen

Pengarah: Cate Shortland

Pelakon: Scarlett Johansson, David Harbour, Rachel Weisz, Florence Pugh dan O-T Fagbenle

Kecekalan diri seorang wanita ada kalanya sukar ditafsir dan ditebak dari mana datangnya kekuatan itu.

Inilah yang mungkin dapat penonton saksikan dalam filem srikandi Marvel, Black Widow.

Mengangkat kisah Natasha Romanoff atau Black Widow, ada pencarian yang perlu dirungkai. Filem ini antara yang dinanti pengikut setia siri Marvel dan ditayangkan pada Mei.


4. Filem: Fast & Furious 9

Genre: Aksi, pengembaraan, jenayah

Pengarah: Justin Lin

Pelakon: Vin Diesel, Charlize Theron, Helen Mirren, John Cena, Michelle Rodriguez dan Lucas Black

Di Hollywood, selain filem animasi dan percintaan yang menjadi perhatian penonton seantero dunia, sudah semestinya karya aksi juga paling dinanti.

Khusus buat pencinta genre aksi, filem francais popular iaitu Fast & Furious akan menemui kalian pada penghujung Mei.

Diterajui aktor sasa Vin Diesel, filem ini padat dengan aksi mendebarkan dan bakal memaparkan beberapa pembaharuan.


5. Filem: Wonder Women 1984

Genre: Aksi, pengembaraan, fantasi

Pengarah: Patty Jenkins

Pelakon: Gal Gadot, Pedro Pascal, Kristen Wiig, Chris Pine, Robin Wright dan Connie Nielson

Kejayaan mencatat kutipan pecah panggung pada 2017 mendorong sekuel filem Wonder Women 1984 dihasilkan.

Sutradara Patty Jenkins sekali lagi bergandingan dengan aktres Gal Gadot untuk karya Wonder Women 1984 yang memaparkan pengembaraan hebat pada era 80-an.

Bukan sekadar aksi, karya yang bakal menemui penonton pada Jun ini turut diselitkan dengan elemen cinta.


6. Filem: Top Gun: Maverick

Genre: Aksi, drama

Pengarah: Joseph Kosinski

Pelakon: Tom Cruise, Jennifer Connelly, Jean Louisa Kelly, Val Kilmer, Monica Barbaro dan John Hamm

Pembabitan dalam filem aksi, drama antara karya yang sinonim dan sebati dengan aktor berkaliber, Tom Cruise.

Cukup dikenali sebagai perisik hebat dalam filem Mission: Impossible, untuk 2020 ini Tom kembali lagi ke zon bahaya untuk filem Top Gun: Maverick.

Menyahut cabaran sebagai juruterbang tentera yang berani, filem ‘perwira’, Top Gun: Maverick akan menemui peminat karya aksi sekitar penghujung Jun.

Mamat
Mamat

HAZAMA
HAZAMA


7. Filem: Rock 4 Rockers Never Dai

Genre: Komedi

Pengarah: Mamat Khalid

Pelakon: Hazama Azmi, Sharwani, Adam John, Nazimi Fahmi dan Bulan Terry

Selain sajian karya dari Hollywood, penonton juga dapat menyaksikan karya sentuhan pengarah terkenal Mamat Khalid.

Sebelum ini Mamat pernah tampil dengan tiga filem Rock yang mendapat sambutan hebat penonton. Malah, ramai menantikan karya terbaru ini bagi mengikuti kisah hidup mat rock garapan Mamat yang bukan sahaja sarat dengan elemen lucu tetapi diselitkan dengan pengajaran untuk panduan bersama.

ZIZAN
ZIZAN


8. Filem: Abang Long Fadil 3

Genre: Komedi, aksi

Pengarah: Syafiq Yusof

Pelakon: Zizan Razak, Elizabeth Tan, Maya Karin, Hairul Azreen dan Daniella Sya

Filem Abang Long Fadil 3 juga antara filem tempatan yang diyakini dapat menarik perhatian penonton ke panggung.

Berikutan sambutan baik penonton terhadap filem Abang Long Fadil 2, kos pembikinan untuk Abang Long Fadil 3 mencecah 4 juta.

Filem yang mendapat sentuhan pengarah muda berwibawa Syafiq Yusuf ini mengekalkan Zizan Razak sebagai teraju utama.

Zul Ariffin
Zul Ariffin


9. Filem: J Retribusi

Genre: Aksi

Pengarah: Nazim Shah dan Asraff

Pelakon: Zul Ariffin, Amelia Henderson, Rosyam Nor, Ashraf Sinclair, Jasper Supayah dan Norman Hakim

Pelakon Zul Ariffin kembali menghangatkan pawagam dengan watak Jay Zulkarnain yang pernah dilakonkannya dalam filem J Revolusi pada 2017.

Namun, kali ini Zul tidak lagi bertugas dalam pasukan Unit Tindakan Khas (UTK). Menerusi filem ini, buat pertama kalinya Zul bergandingan dengan rakan lamanya, Ashraf Sinclair yang dikenali sejak 15 tahun lalu.

Fattah
Fattah


10. Filem: Mat Kilau

Genre: Aksi, epik

Pengarah: Syamsul Yusof

Pelakon: Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Wan Hanafi Su, Johan As’ari dan Nadiya Nisaa

Sentuhan pengarah hebat dan berbisa Syamsul Yusof dalam setiap filem yang dihasilkan diperakui banyak pihak.

Tahun ini, Syamsul kembali dengan filem aksi Mat Kilau. Mempertaruhkan barisan pelakon ternama, filem yang menyingkap kisah pahlawan Melayu Mat Kilau antara yang dinanti tahun ini.

Demi filem ini juga Fattah Amin dikatakan gigih berlatih silat bagi memastikan lakonannya mantap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:11 AM