FILEM baharu terbitan Marvel lebih fokus kepada watak Natasha Romanof lakonan Scarlett Johansson.
FILEM baharu terbitan Marvel lebih fokus kepada watak Natasha Romanof lakonan Scarlett Johansson.
Georgie Joseph


(Yang menemubual Scarlett Johansson dan pengarah filem Black Widow, Cate Shortland, baru-baru ini)

MEMULAKAN tayangannya semalam, filem Black Widow terbitan Marvel Studios tampil dengan pendekatan berbeza dengan karya adiwira terdahulunya.

Pertama, ia memberi fokus kepada kisah Natasha Romanoff atau Black Widow lakonan Scarlett Johansson.

Fokusnya juga termasuk penjelasan latar belakang keluarganya.

Kedua, ia merungkai sorotan jalan hidupnya sebelum dia menyertai pasukan Avengers.

Bagaimana liku ditempuhinya mencetus akar perjuangan membela dunia serta meniti kedewasaan.

Berkongsi mengenainya, Johansson selaku teraju utama mengakui filem itu mendalam maknanya.

Dia menyifatkan perjalanan ceritanya tepat menggambarkan diri sebenarnya.

"Saya rasa wataknya sangat menggambarkan kedewasaan saya sendiri. Sudah 10 tahun rupanya. Filem ini adalah perjalanan mengenai mencari kemaafan diri.

"Saya rasa semakin kita dewasa, kita bekerja lebih keras cuba fahami dan beri ruang kepada diri," katanya dalam temubual eksklusif bersama RAP, baru-baru ini.

Johansson mengakui, dia sendiri tidak menyangka latar belakang Black Widow sebenarnya lebih menarik. Ini kerana dia sekadar adiwira di mata semua selama ini.

Sedangkan kisah hidupnya yang tidak dirungkai selama ini penuh duri dan ranjau.

Natasha Romanoff juga bertitik-tolak daripada seorang insan yang hidupnya sarat dengan kepedihan.

Menyentuh bab keluarganya, dia tidak memiliki keistimewaan untuk berbahagia dengan mereka. Dia tersepit dengan tugasan tanpa rela sehingga terlupa erti nilai kekeluargaan.

"Ibaratnya, semakin dewasa kita semakin ambil mudah mengenai diri sendiri. Dan kita faham ibu bapa serta pilihan yang dibuat mereka dan bagaimana kesannya kepada kita.

"Manakala, keputusan yang kita buat, atau akal fikir kita pula tidak berhasil. Ia seperti sudah ditentukan sejak mula.

SCARLETT sifatkan filem terbabit lambang kedewasaannya.
SCARLETT sifatkan filem terbabit lambang kedewasaannya.

"Saya tak rasa kami boleh lakukan filem ini 10 tahun yang lalu. Ini kerana saya pastinya tidak kenal Natasha sebagaimana saya cukup menyelaminya sekarang," katanya.

Johansson juga menekankan bahawa elemen memartabatkan wanita dalam Black Widow sangat penting. Dia sendiri mahukan karya itu memberi keadilan buat golongan wanita.

Justeru, ada bahagian di mana dia perlu campur tangan untuk mengubahnya.

Menurutnya, adalah wajib buatnya mencerminkan perjuangan wanita dengan cara lebih bermaruah.

"Ada bahagian pada versi asal naskhah ini di mana Natasha dan Yelena (lakonan Florence Pugh) menjadi seteru. Dan seorang daripadanya perlu menumpaskan yang lain.

"Apabila saya membacanya, serta-merta terfikir jalan cerita begitu tidak menarik. Cara wanita sesama mereka berinteraksi bukannya seperti itu.

"Wanita kini dalam era mengagumkan di mana mereka memartabatkan sesama sendiri. Wanita sentiasa menaikkan semangat rakan wanita yang berdepan trauma untuk bangkit semula," katanya.

Justeru, dia sendiri bertindak menyuarakan isu terbabit dalam produksi untuk dibuat perubahan.

Katanya, jalan cerita sebegitu pastinya jauh lebih menarik dan peminat pun setuju.

FLORENCE Pugh lakonkan Yelena sebagai adik Natasha.
FLORENCE Pugh lakonkan Yelena sebagai adik Natasha.

Menjawab teka-teki Avengers: Endgame

Black Widow sebenarnya sedikit-sebanyak meleraikan pelbagai teka-teki mengenai watak itu terutama selepas dimatikan dalam Avengers: Endgame sebelum ini.

Pengarahnya, Cate Shortland berkata, dia percaya penonton pastinya akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai latar belakang Natasha.

Ia sekali gus membuatkan jiwa lebih tenang apabila sudah mengenali diri sebenarnya.

"Apa yang kami inginkan adalah untuk menjawab teka-teki Endgame. Filem ini sebenarnya merungkai siapa sebenarnya Black Widow dan apabila dia mengorbankan diri dalam Endgame, banyak kekusutan hidup yang dilaluinya terlerai juga akhirnya.

"Ia tidak bermakna dia mengaturnya begitu, cuma dia sudah memaafkan d

irinya. Saya rasa ia sesuatu yang menenangkan juga buat insan pernah berdepan trauma," katanya.

Shortland juga mengakui sangat penting untuk gunakan pendekatan unsur kelakar dalam filem itu. Baginya, dia tidak mahu jalan ceritanya digambarkan dengan nada terlalu berat dan gelap.

"Kami cuba gunakan lawak untuk bualkan mengenai trauma dalam filem ini. Rata-rata watak yang menjadi mangsa keadaan sebaliknya berjenaka mengenai trauma itu demi cuba lupakannya.

"Saya tidak mahu hasilkan sesuatu yang gelap. Ia langsung tidak terlintas dalam fikiran saya termasuk jangkaan orang yang terfikir Black Widow adalah terlalu gelap," katanya.

Selain Johansson, Black Widow turut dibintangi Florence Pugh sebagai Yelena Belova, Rachel Weisz (Melina), David Harbour (Red Guardian), Olga Kurylenko (Antonia), Yolanda Lynes (Red Room Widow), O-T Fagbenle (Rick Mason) dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 6:00 AM