KEADAAN terkini Fikri Syafiq selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Shah Alam. FOTO Ihsan Fikri Syafiq
KEADAAN terkini Fikri Syafiq selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Shah Alam. FOTO Ihsan Fikri Syafiq
Suraya Roslan


“Iron Man mana, kenapa dia tak selamatkan Along, kenapa dia tinggalkan Along,” itu dialog mencuit hati lelaki yang berada dalam keadaan ‘khayal’ selepas selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di Shah Alam.

Fikri Syafiq Rohaimi, 27, mengalami situasi akibat kesan ubat ketamin dan propofol selepas disuntik pelalian sedar ketika pembedahan itu berjalan.

Dalam rakaman itu, Fikri Syafiq yang dalam keadaan ‘khayal’ menyebut setiap watak adiwira The Avengers, malah lebih lucu memanggil seorang doktor wanita ‘Black Widow’, salah satu watak adiwira The Avengers.

Gelagat Fikri Syafiq yang dirakam ibu bapanya itu nyata menghiburkan netizen apabila beberapa video yang dimuat naik di Twitter dikongsi pengguna media sosial berkenaan.

Dalam video itu, Fikri Syafiq berulang kali bertanyakan ‘Black Widow’, watak lakonan Scarlett Johansson, sama ada bumi sudah selamat atau belum.

Lebih melucukan, doktor wanita terbabit yang digelar Fikri Syafiq sebagai ‘Black Widow’ itu meyakinkan bumi selamat daripada diserang makhluk asing.

Fikri Syafiq ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia adalah peminat tegar filem adiwira itu sehingga terbawa-bawa dalam ‘khayalannya’.

“Saya baru selamat menjalani pembedahan akibat jangkitan kuman di sebuah hospital di Shah Alam, Jumaat lalu.

“Ketika itu saya berada bawah pengaruh ubat ketamin dan propofol selepas disuntik pelalian sedar, tidak sangka kesan ubat itu membawa saya khayal setiap watak dalam filem adiwira itu,” katanya yang bekerja di sebuah hospital di Miri, Sarawak.

Menurutnya, ibu bapanya merakam video berikutan bimbang dia meracau akibat terkena perbuatan orang dan mahu menunjukkan kepada seorang ustaz.

“Bagaimanapun, sebaik doktor memaklumkan ia kesan sampingan bagi seorang yang diberikan suntikan pelalian sehingga habis kesan bius, ibu bapa saya kemudian dapat menarik nafas lega.

“Saya tidak tahu kenapa saya boleh terfikir watak The Avengers, mungkin sebab saya sangat meminati filem itu yang sudah ditonton tiga kali,” katanya.

Katanya, sebaik menonton semula video itu, dia seperti tidak percaya kerana mampu menyebut semua watak adiwira kegemarannya.

“Ketika menonton filem itu, saya menangis apabila melihat Iron Man dan Black Widow mati sehingga terbawa-bawa dalam khayalan.

“Kepada semua yang melihat video itu, terima kasih kerana mendoakan kesihatan saya dan terhibur dengan ‘drama’ berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:56 PM