BADAN Chong Wei sedang diukur untuk patung lilinnya di Madame Tussauds Hong Kong. FOTO FB Lee Chong Wei
BADAN Chong Wei sedang diukur untuk patung lilinnya di Madame Tussauds Hong Kong. FOTO FB Lee Chong Wei
Ferzalfie Fauzi


LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui terkejut diberi penghormatan menjadi atlet pertama negara yang mempunyai patung lilin dan bakal di pamerkan di Madame Tussauds Hong Kong.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, ia satu penghormatan buatnya apabila bakal memiliki patung lilin tersendiri setanding atlet sensasi dunia seperti Usain Bolt (Olahraga), Rafael Nadal (tenis), David Beckham (bola sepak) dan Yao Ming (bola keranjang).

“Saya pun terkejut sebelum ini apabila mendapat berita mereka akan menyiapkan patung lilin saya. Segala ukuran sudah diambil sejak November dan Disember tahun lalu.

“Ia akan dilancar di Malaysia pada bulan depan atau Mac ini sebelum diterbangkan ke Hong Kong," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Chong Wei yang mengumumkan persaraan pada 13 Jun tahun lalu mengakui proses mengambil ukuran itu sedikit memenatkan namun beliau tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti.

“Ia mengambil masa selama lapan jam untuk mengambil ukuran sebenar bentuk badan saya. Bagaimanapun, proses berkenaan tidak dijalankan selama lapan jam berturut-turut.

“Saya dibenarkan berehat selepas empat jam dan rehat untuk makan serta minum sebelum menyambung semula proses berkenaan," katanya.

Madame Tussauds semalam mengumumkan secara rasmi bahawa Chef-de-Mission Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan menjadi atlet pertama Malaysia memiliki ukiran patung lilin sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 2:01 PM