MADAM
MADAM
Syafil Syazwan Jefri

Mencipta nama dalam tempoh pandemik Covid-19 bukanlah satu tugas mudah buat kumpulan baharu, Madam.

Namun, kumpulan yang dianggotai Putera (penyanyi), Padel (gitar), Azuan (bass) dan Herman (dram) ini bersyukur kerana langkah mereka yang bermula tahun lalu dipermudahkan.

"Apabila kami keluarkan single dalam tempoh pandemik, memang ada banyak kesulitan untuk kami terutama dalam merancang strategi promosi. Disebabkan tahun lalu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat, jadi banyak rancangan promosi terpaksa ditunda.

"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana walaupun tak dapat nak jalankan promosi dengan bersungguh-sungguh, video muzik single pertama kami iaitu Luka berjaya mencatat satu juta tontonan dalam tempoh yang singkat," kata Putera.

Menurut Putera, ia menjadi pembakar semangat untuk mereka melancarkan single kedua berjudul Musnah.

MADAM dianggotai (dari kiri) Herman, Putera, Azuan dan Padel.
MADAM dianggotai (dari kiri) Herman, Putera, Azuan dan Padel.

"Selepas sembilan bulan Luka dilancarkan dan berjaya mendapat jumlah tontonan lebih empat juta di YouTube, kami kini juga sudah melancarkan single kedua, Musnah. Untuk Musnah, kami menggunakan khidmat komposer luar iaitu Amy Bong. Kami sukakan sentuhan muziknya yang segar," katanya.

Diminta mengulas mengenai beberapa kritikan yang menganggap Madam adalah klon kumpulan popular, Akim & The Majistret, Putera menganggap persamaan itu adalah kerana penerbit lagu-lagu mereka adalah Zimi Sofaz.

"Tentunya sedia maklum mengenai Zimi dan Akim & The Majistret. Jadi, kami tak nafikan ada beberapa elemen dalam lagu kami kedengaran seperti lagu mereka. Namun, apa yang boleh saya katakan, tunjang utama kami adalah muzik rock. Namun, kami pelbagaikan dengan menyuntik elemen slow rock dan balada.

"Rock tak semestinya lagu yang keras. Lagu berentak perlahan juga boleh memiliki elemen rock itu sendiri," katanya.

Terbaharu, Madam kini hadir dengan single khas bersempena Ramadan berjudul Kekasihku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 8:33 AM