AYOB Abdul Majid.
AYOB Abdul Majid.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) menyokong dan menyambut baik penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia (PIMM) yang diluluskan oleh Kabinet pada 19 Julai lalu.

Presidennya, Ayob Abdul Majid berkata, keputusan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah itu wajar dan sudah hampir 40 tahun dinantikan oleh pelaku, penggiat dan pelabur industri muzik Malaysia.

"IRAMA sebagai salah satu 'stakeholder' dalam industri muzik yang secara rasmi atau tidak rasmi, sama-sama memberikan input dalam penubuhan ini sejak tahun 2018.

"Salah satu agenda penubuhan IRAMA adalah mengusaha dan menggesa agar diwujudkan sebuah Perbadanan yang skopnya hampir sama dengan Perbadanan Kemajuan Final Nasional Malaysia (Finas) turut tumpang gembira dengan keputusan kabinet Malaysia dan berharap fokus selepas ini akan berjalan seperti apa yang dirancang.

"IRAMA tidak begitu mengambil peduli siapa yang akan dilantik sebagai Pengerusi atau Pengurus PIMM. Yang lebih penting adalah dasar-dasarnya yang sehingga kini masih belum dimaterikan atau dimaklumkan secara rasmi kepada kami, malah kepada semua pelaku, penggiat dan pelabur industri," katanya.

Menurut Ayob, KKMM juga belum memaklumkan siapa yang terbabit membantu mereka dalam menyiapkan dan menggubal rang undang-undang akta atau garis panduan serta kertas kerja penubuhan PIMM secara rasmi.

"Apa yang ada adalah perbualan-perbualan baik secara pertemuan fizikal ataupun secara dalam talian terutamanya dalam kumpulan WhatsApp.

"Keraguan IRAMA lebih kepada asas 'input' yang dirasakan lebih penting dari siapa yang akan menerajuinya, kerana asas dasar-dasar inilah bakal jadi panduan kepada siapa yang dilantik menjadi peneraju PIMM.

"Secara asasnya KKMM sudah pun maklum segala permasalahan yang berlaku dalam industri muzik, yang kerajaan sudah 'terlepas pandang' membiarkan industri muzik ini berlangsung seperti pergerakan 'seladang liar'.

"Ini adalah kata-kata Allahyarham TS Samad Idris yang menjadi pengerusi Finas dahulu kepada penggiat muzik sekitar tahun 1990 atau 1991," katanya. 

IRAMA berharap PIMM akan menjadi pemacu industri atau 'acceleration body' dan bukan sebagai pesaing kepada industri.

"Kami mahu barisan pengurusan PIMM nanti benar-benar menggauli semua sektor dalam industri muzik seperti yang diwar-warkan dan pentingnya aspek nasionalisma, kesaksamaan dan ketelusan akan sentiasa menjadi tunggak perkhidmatan.

"Wakil dari Sabah dan Sarawak harus ada dalam barisan jemaah jawatankuasa PIMM bagi merakyatkan muzik untuk Malaysia.

"PIMM juga harus lebih 'bermesra' dan memperkuatkan Persatuan/kelab/komuniti yang aktif yang mewakili muzik baik yang dipandang sebagai Persatuan Professional, Korporat dan syarikat gergasi bagi menyamaratakan kalangan Persatuan miskin dan marhaen," katanya. 

Ayob juga meminta PIMM menitikberatkan pembangunan muzik Islam di negara kita.

"Ia perlu diperkasakan dan diperhebatkan, bukan hanya memfokuskan kepada kalangan kluster popular dan bernaung di bawah label besar atau genre nasyid saja, malah menyeluruh kepada akar-umbi dan pembangunan industri muzik Islam itu sendiri.

"IRAMA sedar, mengharap pada kesempurnaan idealisma memanglah amat mustahil, namun mencegah PIMM menjadi sarang 'kartel' dalam bentuk digitalisasi moden yang legit adalah cabaran yang lebih besar bagi pelaku, penggiat dan pelabur industri masakini dan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 10:16 PM