LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Wajar senarai hitam mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Itu ketegasan persatuan penggiat seni tanah air mengenai pembabitan artis dan individu di dalam industri dengan najis dadah.

Tindakan itu sesuai dan kena pada masanya untuk memastikan industri seni bebas dari sebarang pengaruh dadah dan anasir tidak sihat.

Presiden Konsortium Industri Rakaman Malaysia (Irama) Ayob Abd Majid berkata, pihaknya yakin dengan cara itu, penggiat seni tidak lagi memandang remeh usaha menjauhkan diri daripada dadah sekali gus mengangkat imej industri berkenaan.

Katanya, seperti pekerjaan di dalam cabang lain, industri seni juga memerlukan pengkarya yang berdisiplin dan bebas dari pengaruh tidak baik.

"Sudah lama artis dikaitkan dengan dadah. Artis tak boleh buat persembahan tanpa dadahlah dan macam-macam lagi.

"Ini secara tidak langsung menjejaskan keseluruhan industri dan tidak elok jika bidang seni hanya dikenali dengan imej yang tidak baik.

"Irama menyokong tindakan menyenarai hitamkan mereka yang didapati bersalah menggunakan dadah sebagai pengajaran untuk kehidupan. Industri ini perlu bergerak lebih jauh, bukan sekadar terpalit dengan kontroversi yang menyebabkan masyarakat memandang sinis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi, artis yang didapati terbabit dengan dadah perlu digam daripada menerima sebarang tawaran sama ada persembahan atau lakonan sebagai hukuman kepada mereka.

Katanya, Seniman juga bekerjasama dengan pihak berwajib seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memastikan penggiat seni menjauhi dadah atau mendapatkan pemulihan yang berkesan.

"Kita juga ada buat kajian mengenai perkara ini untuk membantu mereka yang terjebak kerana ini adalah mata pencarian anak seni.

"Kita tak nafikan, segelintir selebriti memang terbabit dengan dadah, namun sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan mereka sedar dan insaf dengan kesilapan yang dilakukan," katanya.

Sementara itu Presiden Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) Wady Hamdan berkata, langkah untuk memberi pengajaran kepada mereka yang terbabit perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Katanya, ia boleh dimulakan dengan proses saringan bagi menentukan siapa yang terbabit dan tahap penggunaan dadah mereka.

"Selepas itu mereka perlu menjalani proses pemulihan dengan pemantauan pihak tertentu.

"Jika mereka enggan atau ingkar, maka barulah tindakan tegas seperti menyenarai hitamkan mereka dari mendapat atau menjayakan persembahan dilakukan.

"Isu dadah ini bukanlah perkara baru. Selain tindakan tegas, kita semua perlu juga untuk mencari jalan bagaimana mendidik generasi baru termasuk dari industri seni untuk menghindari, mengawal diri dan mencegah daripada terjebak dengan dadah," katanya.

Hari ini media melaporkan pelakon, pengarah filem dan penolongnya masing-masing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, atas tuduhan memiliki dadah, Ahad lalu.

Pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 28; pengarah, Mohd Latiff Zami, 49; dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Ahad lalu, ketiga-tiga mereka ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 4:46 PM