AYOB (duduk kiri) bersama ahli jawatankuasa IRAMA.
AYOB (duduk kiri) bersama ahli jawatankuasa IRAMA.
Ridzuan Abdul Rahman

Penjualan album fizikal yang merudum dan keengganan segelintir radio swasta memainkan lagu tanpa alasan munasabah membawa kepada penubuhan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).

Presidennya, Ayob Abd Majid berkata, IRAMA dianggotai pemilik syarikat rakaman kecil dan ditubuhkan untuk membela nasib penyanyi dan syarikat rakaman tempatan.

“Kami dapati banyak syarikat rakaman bebas dan penyanyi menghasilkan single untuk dipasarkan menerusi platform digital yang sememangnya menjadi perhatian ramai.

“Bagaimanapun, usaha mereka dianaktirikan segelintir stesen radio yang seakan-akan tidak me­nyokong apabila enggan memainkan lagu itu sedang­kan kos pembikinan bukan sedikit.

“Saya bersimpati kerana modal untuk buat single mencecah RM5,000 hingga RM10,000. Apabila dicampur dengan kos promosi ia akan meningkat sehingga RM25,000 tetapi lagu tak dimainkan di radio pula,” katanya.

Menurutnya, perbinca­ngan awal mereka mulanya hanya berlangsung menerusi medium aplikasi WhatsApp. Bagaimanapun, memikirkan suara majoriti lebih baik, mereka akhirnya bergabung menubuhkan IRAMA.

“Dahulu, ada syarikat rakaman gergasi yang perlukan modal besar. Sekarang industri kian mengecil dan banyak single dihasilkan. Kemudian lahir pula pasaran platform digital.

“Kemudian ramai individu mengeluarkan single dan buka syarikat rakaman sendiri. Menerusi penelitian saya, ada lebih 100 syarikat rakaman kecil yang aktif,” katanya.

Rasional konsortium dipilih berbanding persatuan kerana dapat mencari dana untuk ahli dibanding­kan dengan persatuan yang terhad fungsinya.

“IRAMA dianggotai mereka yang berpengalaman dalam bidang seni dan ahli jawatankuasa terdiri daripada komposer, penulis lirik dan pegawai perhubu­ngan awam (PRO) yang boleh membantu ahli.

“Agenda utama kami adalah mengatasi masalah penyiaran lagu di radio dan kedua-duanya masalah program digital yang dilihat menjadi sumber pendapatan utama sekarang.

“Ahli yang bernaung di bawah IRAMA akan diberi pelbagai kemudahan antaranya khidmat PRO profesional dengan kadar kos antara RM1,000 sehingga RM2,000 kerana adanya bantuan dana yang diperoleh,” katanya.

Ayob berkata, IRAMA mahu menjadi pusat sehenti (one stop centre) untuk ahli mendapatkan kemudahan lebih baik dengan kos lebih murah.

“Anggaran kos promosi sebenar sebuah album adalah sekitar RM7,000 tetapi untuk ahli, mereka hanya perlu bayar RM1,500.

“Kami juga akan memastikan semua ahli mendapat peluang sama rata dalam setiap pengagihan projek.

“IRAMA akan berusaha meminta kerajaan memberikan dana yang digunakan untuk acara persembahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob tidak mahu IRAMA dilihat menyaingi persatuan muzik lain kerana fungsi mereka seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang mengumpulkan semua penggiat filem di dalamnya.

“IRAMA mahu dilihat sebagai payung yang membela nasib penggiat seni muzik tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 3:39 AM