Noor Hidayah Tanzizi

Bagan Datuk: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan bertemu penggiat muzik bagi mendapatkan pandangan usaha terbaik dalam menjaga kebajikan komuniti itu termasuk berkaitan royalti, selaras dengan cadangan kerajaan untuk menubuhkan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pertemuan itu akan digerakkan melalui Task Force Industri Kreatif dalam masa terdekat bagi mendengar kehendak dan keperluan komuniti itu.

Menurutnya, walaupun royalti penggiat seni muzik dibayar melalui tiga badan, tetapi tiada badan khusus yang menjaga kebajikan mereka seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang menjaga kebajikan pelakon.

"Kita berusaha tubuhkan PIMM. (Jadi) kita akan ada perjumpaan dengan mereka untuk mendapatkan pandangan sebelum menubuhkan perbadanan (PIMM).

"Apa cadangan mereka mahu.. kalau mereka tak puas hati contohnya mahu terus dengan kementerian ke," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Raja Gelek, Datuk M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baruh, di sini, hari ini.

ZAHIDI Zainul (tengah) melawat Raja Gelek, Datuk M Daud Kilau  di rumahnya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
ZAHIDI Zainul (tengah) melawat Raja Gelek, Datuk M Daud Kilau di rumahnya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.

Pasukan petugas Industri Kreatif sebelum ini ditubuhkan untuk meneliti dan mengambil kira langkah penambahbaikan industri kreatif termasuk isu kebajikan penggiat seni.

Untuk rekod, tiga badan mengutip royalti muzik iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Berhad dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

Zahidi berkata, pelaksanaan task force berkenaan bagi membantu penggiat seni dari segi kebajikan, kewangan, perumahan dan keperluan lain.

Menurutnya, industri kreatif di setiap negeri akan dihidupkan kembali dengan penubuhan persatuan di negeri dalam usaha menjadikannya sebagai tarikan dan pendapatan sektor pelancongan seperti dikir barat di Kelantan, Boria di Pulau Pinang dan sebagainya.

"Kita akan beri bantuan melalui persatuan negeri dan kita sudah bergerak serta melantik urusetia, cuma dalam task force kita akan bincang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 5:11 PM