RADHIKA tidak pernah terfikir lakukan pembedahan plastik pada tubuh badannya.
RADHIKA tidak pernah terfikir lakukan pembedahan plastik pada tubuh badannya.
Susunan Najiy Jefri


AKTRES Radhika Madan pernah disaran untuk melakukan pembedahan plastik bagi mendapatkan bentuk tubuh yang menawan memandangkan terlalu ramai persaingan dalam kalangan pelakon wanita dalam industri seni Bollywood.

Radhika bagaimanapun enggan mempedulikan pendapat tidak masuk akal itu kerana percaya dengan anugerah yang Tuhan berikan kepadanya.

"Saya tertanya-tanya sama ada saya tidak cantik? Tetapi, saya tidak peduli dan hanya mahu menjadi diri sendiri," katanya.

Menurut Radhika, dia percaya biarpun ada pihak yang berasa dirinya tidak cukup sempurna, namun sebagai manusia kita perlu menghargai segala kekurangan dan mencintai diri sendiri.

"Saya berasa kunci kebahagiaan seseorang adalah mencintai dirinya sendiri. Ini kerana, apabila anda melihat diri anda dengan baik, itu yang akan dirasakan orang sekeliling.

"Bayangkan jika saya tidak yakin dengan diri sendiri, orang disekeliling akan cuba menjatuhkan dan membuatkan kita rasa tertekan.

"Apa saja kekurangan yang kita ada, jalani dengan penuh bahagia dan raikan segala kekurangan itu. Saya juga sedar yang saya tak boleh nak puaskan semua orang. Apa yang saya mampu adalah perlu yakin dengan apa yang kita miliki," katanya.

Mengakui perjalanan bergelar aktres seawal usia 17 tahun bukan satu perkara yang mudah, Radhika bagaimanapun sentiasa optimis dalam mengejar cita-citanya.

Radhika berkata, dia tidak menjangka bermula dengan tawaran drama televisyen, kerjaya seninya berubah apabila diberi peluang untuk membintangi sebuah filem bergandingan dengan aktor Vishal Bhardwaj.

Bagaimanapun kata Radhika, dia mengalami tekanan teruk untuk mendapatkan rehat yang cukup selepas bergelar bintang filem.

"Waktu bekerja sangat panjang sehingga saya tidak cukup tidur. Kesannya, saya mengalami penambahan berat badan yang mendadak sehingga berkilogram.

"Kemudian yang terdengar pula khabar angin bahawa tempat saya untuk membintangi beberapa filem akan digantikan dengan pelakon lain yang lebih kurus. Sejak itu saya mula mengamalkan gaya hidup sihat dan bersenam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 6:44 AM