SENTIASA percaya kebolehan diri.
SENTIASA percaya kebolehan diri.
Susunan Najiy Jefri


KEHADIRAN aktres, Priyanka Chopra Jonas dalam industri seni sememangnya cukup luar biasa dan memiliki pesona yang tersendiri.

Siapa sangka, Miss World 2000 itu sudah hampir dua dekad berkecimpung dalam kerjaya lakonan apabila membintangi lebih 60 filem di India serta Amerika Syarikat (AS).

Lebih mengujakan, pada 2015, Priyanka menjadi wanita India pertama yang mengintai peluang berlakon dalam sebuah drama televisyen AS di saluran ABC, dengan membintangi drama bersiri Quantico.

Mengakui perjalanan membina nama di Hollywood tidak semudah yang disangka, bagaimanapun Priyanka sentiasa optimis dalam memacu karier seni lakonannya sehingga dia dikenali ramai.

"Saya rasa halangan terbesar untuk berada di Hollywood adalah untuk memastikan diri saya terus berevolusi. Bagi saya, berada di Hollywood bukan sekadar untuk membina nama semata-mata sebaliknya ini adalah cita-cita saya.

"Kepada yang ada cita-cita tinggi dan ingin mencari maksud tujuan hidup, anda perlu mengubah corak hidup anda sebaik mungkin.

"Selalunya sebaik mendapat tempat yang selamat, anda akan berada di puncak kejayaan dan mula selesa. Itu selalu berlaku, namun ia bukan perjuangan saya. Jadi, saya mencabar diri untuk terus mengejar cita-cita dan sedia mempelajari pelbagai perkara baharu," katanya.

Tambah Priyanka, sebagai aktres dia sentiasa mencari peluang dan naskhah baharu untuk dijayakan supaya kanvas karier seninya terus bewarna-warni dan bercahaya.

"Saya tak boleh duduk diam. Saya kena sentiasa mencari peluang dan ruang untuk terus berjaya. Lagipun, ini adalah perkara yang saya tetapkan dalam hidup sejak kecil, sekali gus memudahkan saya untuk menyesuaikan diri di mana saja berada. Saya bersyukur kerana saya mudah masuk dengan apa sahaja perubahan baharu yang berlaku dalam persekitaran.

"Setiap perkara baharu yang datang saya akan meletakkan diri sebagai pelajar. Saya bersedia untuk mula dari bawah dan mendengar pandangan, meski sudah hampir 20 tahun dalam bidang ini. Bagi saya pendapat orang berbeza-beza, sekali gus membantu saya belajar menyesuaikan diri dengan baik di Hollywood," katanya.

Priyanka yang turut mempunyai syarikat produksi Purple Pebbles Pictures mengakui dia tidak akan sesekali bergantung kepada hero gandingannya untuk meningkatkan karier seni lakon yang diceburi.

Kata Priyanka, dia sentiasa mempercayai dengan kebolehan diri dan mampu berjaya dengan berpijak atas kaki sendiri.

"Saya tidak perlu berlakon dengan hero tertentu untuk memastikan karier saya terus bercahaya.

"Saya juga tidak percaya jika filem saya yang seterusnya tidak mendapat sambutan. Termasuk, jika tidak mendapat peranan watak utama, karier saya akan berakhir.

"Bagi saya, sejak kecil saya sudah diajar untuk sentiasa yakin dengan diri sendiri dan mampu melakukan pelbagai perkara dalam hidup.

"Selama saya bergelar pelakon, saya tidak pernah bergantung dengan pelakon lain. Saya tidak perlu membintangi filem dengan hero tertentu untuk berjaya.

PRIYANKA dan Jonas tidak tertekan setiap kali ditanya mengenai cahaya mata.
PRIYANKA dan Jonas tidak tertekan setiap kali ditanya mengenai cahaya mata.

"Apa yang saya buat selama ini adalah pilihan saya seperti memilih naskhah yang mengangkat genre berbeza, diberi peranan watak besar atau kecil, pengarah terkenal atau sebaliknya. Perjalanan saya dibuat berdasarkan pilihan dan 'mood' saya ketika itu," katanya.

Umpama bermimpi

Selepas dua tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon popular ini turut mendedahkan dia seakan-seakan tidak percaya apabila menerima lamaran daripada suami yang juga penyanyi popular Amerika Syarikat, Nick Jonas.

Priyanka berkata, selepas dua bulan berkenalan, mereka kerap berhubung antara satu sama lain dan hanya beberapa kali bertemu.

"Saya tidak sangka akan dilamar ketika itu kerana kami baru saja dua bulan bercinta. Selepas dilamar, saya terus bersetuju untuk menjadi isterinya. Lagipun saya sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baharu dalam hidup iaitu berkahwin," katanya.

Bagi Priyanka, ada sesuatu yang menarik perhatiannya terhadap Jonas iaitu sikap lelaki itu yang tekad dan nekad untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

Walaupun belum memiliki rezeki menimang cahaya mata, namun Priyanka dan Jonas tidak pernah tertekan setiap kali ditanya ramai pihak dengan soalan itu.

Pasangan popular dan terkenal ini mengikat tali pertunangan pada Julai 2018 serta berkahwin pada 1 Disember tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 6:00 AM