JENNIFER Lawrence
JENNIFER Lawrence
Ardini Sophia Sina

Pada usia 26 tahun, Jennifer Lawrence adalah aktres muda yang berjaya mencuri tumpuan dan meletakkan dirinya sebaris pelakon kelas A sedia ada.

Dia empat kali dicalonkan untuk Anugerah Academy dan pernah menang Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Silver Lining Playbook.

Jennifer juga mencipta sejarah tersendiri apabila filem francais, The Hunger Games berjaya menawan hati penonton. Pelakon baru itu juga mendapat tempat dalam filem adiwira, X-Men.

Mac tahun hadapan, wanita berlesung pipi itu akan memulakan penggambaran filem Red Sparrow, filem bergenre aksi-triler. Red Sparrow mengisahkan penari yang diserap sebagai perisik oleh Russia.

Selain itu, filem baru lakonan Jennifer, Mother bakal ditayangkan bulan depan. Melihat pada projek membabitkan dirinya menunjukkan Jennifer bekerja keras dan tidak pernah bercuti panjang sejak awal bergelar pelakon.

“Saya tidak dapat membayangkan diri saya duduk berehat di rumah tanpa sebarang kerja. Saya bukanlah seseorang yang boleh duduk diam. Saya suka bekerja.

“Saya tidak suka bangun pagi tanpa sebarang perkara untuk dilakukan. Atau pun tidur tanpa sebarang pencapaian pada hari itu umpama hidup saya tidak punya arah tuju,” katanya.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini Jennifer mula menyedari kepentingan memberikan ruang peribadi untuk diri sendiri. Dia kini belajar untuk memberikan waktu rehat pada fizikal dan mentalnya.

Katanya, dia sedar tidak timbul masalah pun andai dia ingin berehat sebentar sebelum memulakan penggambaran untuk filem seterusnya. Ia perlu untuk menyegarkan semula semangatnya.

“Awal berlakon, saya rasa berupaya berlakon tanpa berehat dua atau tiga hari. Apabila saya ingat kembali, saya rasa ketika itu saya terlalu gila bekerja.

“Tetapi sekarang, mungkin disebabkan terlalu letih bekerja tanpa cuti panjang, saya akan mengambil kesempatan untuk berehat beberapa hari sebelum memulakan sesi penggambaran untuk projek seterusnya.

“Dulu saya terlalu takut untuk bercuti. Saya akan bekerja dan terus bekerja. Saya tidak terasa penat bahkan puas kerana dapat menyelesaikan beberapa babak tanpa sebarang gangguan. Tetapi sekarang saya mula menjaga kesihatan diri dengan lebih baik,” katanya.

Jennifer juga anak seni yang tidak pernah berpura-pura di hadapan orang lain termasuk media yang menemubualnya. Apabila sesi temuramah dilakukan di satu restoran, pelakon itu akan memesan makanan untuk dinikmati.

Sesetengah pelakon sanggup menahan lapar semata-mata tidak mahu tindakan mereka itu disalahertikan. Bagaimanapun, itu tidak bermakna Jennifer seorang yang biadab.

“Saya memang terkenal dengan sikap suka meluahkan perasaan saya. Saya cakap apa yang saya mahu asalkan mesej yang saya ingin sampaikan itu difahami dan cukup jelas pada yang mendengar.

“Dalam keadaan lapar, situasi itu akan membuatkan saya tidak selesa dan kadangkala akan mempengaruhi emosi dan jawapan. Kenapa mesti berselindung kalau saya ingin makan?

“Saya bukan meminta media membayar makanan saya. Malah saya ajak mereka untuk memesan makanan kalau-kalau mereka juga ingin mengisi perut kosong,” katanya.

Pernah membintangi Passengers, filem pecah panggung tetapi terus terang aktres itu melihat dia tidak berjaya melakonkan watak itu dengan baik.

Apa yang buruk pada kaca matanya, dia akan berterus terang dan mengakui kesalahan diri tanpa sebarang alasan. Baginya, perkara yang salah itu tetap salah.

Dia tidak memerlukan sebarang sebab untuk melarikan diri daripada kesilapan yang dilakukannya. Seorang pelakon harus berani mengakui kesalahannya dan bukan berusaha menutup kekurangan diri.

“Tidak perlu bermegah diri kononnya melakukan yang terbaik sedangkan di mata kita sendiri pun lakonan kita sangat teruk. Jangan berikan 100 peratus penilaian itu pada mata penonton.

“Pada mereka, mungkin kita sudah melakonkan watak itu dengan baik tetapi adakah ia mencapai standard yang kita sendiri tetapkan? Kita sepatutnya melakonkan watak itu melebihi tanggapan umum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 1:13 AM