EZAD dan anak-anaknya.
EZAD dan anak-anaknya.
Sudirman Mohd Tahir & Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Ezad Lazim dan isteri, Zeana Ramli terkejut apabila dihubungi polis berikutan laporan mendakwa mereka mendera anak bongsu, Putera Muhammad Darwish, 6, semalam.

Ia susulan gambar dimuat naik Ezad di Instagram semalam memaparkan Darwish sedang menerima rawatan akibat cedera di kepala dipukul kakaknya, Puteri Rania Keisha, 9, dengan penyangkut baju.

Menceritakan kejadian itu, Ezad berkata, ketika itu dia berada di ruang tamu manakala isteri di dapur memasak dan anak-anak di bilik tingkat atas.

"Tiba-tiba Darwish menangis beritahu Rania memukulnya dengan penyangkut baju. Saya ingatkan tiada apa yang serius, tapi apabila melihat darah penuh dekat lantai saya hampir pitam," katanya.

Menurut Ezad, selepas dibawa ke hospital doktor memaklumkan luka yang dialami hanya kecil kerana terkena pada bahagian kulit kepala yang lembut. Darwish juga tidak perlu menerima sebarang jahitan. Ezad berkata, walaupun anak-anaknya sudah saling memohon maaf tetapi sebagai bapa dia mengakui terkesan dengan kejadian yang berlaku.

"Saya rasa bersalah kerana tidak menghalang mereka ketika bergaduh. Maafkan atas kecuaian kami. Kami terlepas pandang dan tak sempat tengok anak. Mereka pula tiba-tiba bergurau begitu," katanya.

Ezad turut berterima kasih kepada pihak yang membuat laporan polis yang disifatkan mengambil berat atas apa berlaku.

"Tak jangka pula ada yang prihatin dan buat laporan kami mendera anak. Kalau betul pihak berkuasa ingin buat siasatan kami sedia memberikan kerjasama.

"Apa pun kami minta maaf. Kami bukannya nak perkara ini tular. Kami pun seperti ibu bapa lain yang berkongsi di media sosial dengan apa yang berlaku. Jadi, saya pun kongsi kisah anak saya bergaduh.

"Rania sudah pun minta maaf sebab tak sengaja. Saya pun nak ambil kesempatan untuk minta maaf. Mungkin ini kecuaian kami dalam menjaga anak sampai bergaduh dan berdarah. Alhamdulillah, dia tak teruk dan tidaklah sampai berjahit. Doktor pun kata tidak ada apa-apa. Dia pun sudah okay dan boleh melompat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 3:57 PM