Mohd Rabin Basir
Mohd Rabin Basir
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan supaya siasatan dibuat ke atas sebuah program hiburan syarikat televisyen swasta susulan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rabin Basir berkata, siasatan ke atas rancangan berkenaan akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"Kita sudah memaklumkan perkara ini kepada KKKM dan kementerian berkenaan sedang meneliti keseluruhan aspek rakaman program berkenaan.

"KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya, jika mereka mengenal pasti berlaku pelanggaran apa-apa SOP sepanjang rakaman program terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan rakaman musim pertama rancangan hiburan, menampilkan 50 juri yang dilihat tidak memakai pelitup muka sepanjang rakaman berkenaan dibuat.

Difahamkan, rakaman program berkenaan dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan sebelum ini, iaitu antara 3 Mac hingga 11 April lalu.

Mohd Rabin berkata, tindakan penguatkuasaan masih boleh diambil jika berlaku sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan walaupun rakaman program terbabit sudah selesai.

"Rakaman rancangan ini dipercayai dibuat ketika arahan PKPP dikuatkuasakan sebelum ini, tetapi tetap ada syarat perlu dipatuhi seperti pemakaian pelitup muka dan sebagainya.

"Kalau ada pelanggaran boleh diambil tindakan. Walaupun benda itu (rakaman program berkenaan) sudah berlaku tetapi ia timbul di media atau sebagainya, polis tetap akan siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 5:22 PM