MEMORI Eidulfitri.
MEMORI Eidulfitri.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Memori Eidulfitri terbitan syarikat animasi Monsta menjadi iklan hari raya nombor satu tahun ini selepas meraih lebih 11 juta tontonan di dua saluran rasmi Monsta.

Ia diikuti iklan TNB Malaysia dengan 6.3 juta; Mr.DIY (6.2 juta); Watsons (5.7 juta); Etiqa (5.6 juta); Samsung Malaysia (3.8 juta); Safi Malaysia (3.9 juta); McDonalds Malaysia (2.9 juta); RHB Group (3.3 juta); dan Maxis (2.5 juta).

Menurut Ketua Jenama dan Pemasaran Antarabangsa Monsta, Faiz Zainal Aabidin, sambutan luar biasa itu semestinya amat mengejutkan mereka dan tidak sangka menjadi iklan nombor satu tahun ini.

"Memori Eidulfitri yang dimuatnaik di beberapa saluran YouTube rasmi Monsta pada 7 Mei lalu berjaya mengumpul 'organic views' dengan jumlah tontonan tertinggi di YouTube platform itu. Sekali gus, menempatkan ia di tempat pertama dalam koleksi iklan raya tahun 2021.

"Iklan raya ini secara tidak langsung disifatkan sangat memberi kesan kepada penonton yang berkongsi situasi pada musim pandemik ini. Situasi di mana menyukarkan lagi pertemuan sesama ahli keluarga dan orang tersayang," katanya.

Memori Eidulfitri yang berdurasi empat minit setengah terbabit memaparkan adegan generasi keluarga BoBoiBoy di pagi Syawal. Ia digambarkan dalam tiga rantaian masa yang berbeza.

Ceritanya berkisar perjalanan memori sewaktu bapanya Amato pada usia muda, sudah berumah tangga dan BoBoiBoy masih kecil, serta adegan BoBoiBoy sudah meningkat remaja, kehilangan ibu bapa, dan kini hanya tinggal bersama datuknya.

Selain YouTube, di Twitter juga tanda palang #MemoriEidulfitri dan #BoBoiBoy berjaya menjadi sohor kini di Malaysia dan Indonesia. Di Facebook rasmi Monsta pula, iklan itu berjaya mencapai 1,900 juta perkongsian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 6:56 PM