Akim Ahmad
Akim Ahmad
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Akim Ahmad yang juga penyanyi kumpulan Akim & The Majistret (ATM) menafikan kembali bergerak solo apabila melancarkan single terbaru berjudul Bayang.

Akim, 30, atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad berkata, lagu itu adalah projek solo untuk lagu tema drama Sabarlah Duhai Hati yang bakal ditayangkan di Slot Akasia, TV3.

"ATM masih ada. Sekarang ini kami dalam perancangan untuk mengumpul lagu bagi projek album. Perlukan waktu untuk cari bahan yang berkualiti. Tiada istilah ATM berhenti seketika. Baik saya muncul secara solo mahu pun bersama ATM, semua kena jalan.

"Cuma, kebetulan ada projek terbaru daripada Nova Music yang memerlukan saya untuk merakam lagu secara solo. Lagu yang sesuai pun sudah ada jadi saya ambil keputusan untuk terus merakam lagu Bayang," katanya.

Menurut Akim, lagu hasil ciptaannya sendiri menggunakan nama Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim, Bunga Cantik dan Arisz Ab Rahman itu dianggap istimewa kerana ia adalah hasil cetusan idea bersama isteri tercinta juga penyanyi terkenal, Stacy.

"Lagu Bayang ini sangat berbeza dengan single saya sebelum ini. Ia boleh disifatkan evolusi saya sebagai penyanyi.

"Dari segi bunyi dan muzik, ia juga berbeza dengan ATM. Muzik Bayang lebih mengenengahkan instrumen elektronik. Malah, ia sangat istimewa kerana hasil cetusan idea saya bersama Stacy.

"Malah, ketika proses rakaman, Stacy yang menjaga vokal saya. Itu yang saya cakap, lagu ini antara kerjasama istimewa kami. Ada 'sentimental value'", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 11:51 AM