MELODI lagu Peluk benar-benar menyentuh jiwa Stacy hingga menangis ketika proses rakaman.
MELODI lagu Peluk benar-benar menyentuh jiwa Stacy hingga menangis ketika proses rakaman.
Sudirman Mohd Tahir


KALI terakhir penyanyi popular, Stacy muncul dengan lagu genre balada ialah sembilan tahun lalu menerusi lagu Pelangi Senja.

Selepas itu, Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam lebih banyak melancarkan lagu bergenre rancak sesuai dengan gelarannya sebagai ratu tari Malaysia.

Namun, tahun ini Stacy bakal mengulangi kegemilangan lagu balada Pelangi Senja dan Kisah Dongeng yang dikeluarkan sebelum ini apabila muncul dengan lagu berentak balada terbaharu berjudul Peluk.

Lagu itu ciptaan Stacy yang menggunakan nama Bunga Cantik dan lirik oleh Akim menggunakan nama Hang Nadim. Selain Hang Nadim, Stacy (Bunga Cantik) turut menulis lirik lagu terbitan Nova Music itu bersama Arisz Ab Rahman.

Ia adalah karya yang cukup istimewa apabila dia memberikan sepenuh jiwa ke dalam lagu ciptaannya itu.

"Selepas sembilan tahun tak keluar lagu balada, alhamdulillah tahun ini saya melancarkan lagu Peluk. Kebetulan awal tahun ini pihak Nova Music menawarkan projek rakaman yang memerlukan lagu bergenre balada.

"Bagi saya, Peluk sangat istimewa kerana saya cipta dan nyanyikan sendiri selain bekerjasama dengan Akim serta Arisz dalam penulisan lirik.

SINGLE Peluk ciptaan bersama suami, Akim Ahmad.
SINGLE Peluk ciptaan bersama suami, Akim Ahmad.

"Sejujurnya, apabila lama tidak menyanyikan lagu balada, memang gementar dan ia sangat berbeza ketika merakamkan lagu Pelangi Senja yang waktu itu saya masih bujang. Tapi, untuk lagu ini mudah saja nak dapatkan penghayatan dan 'feel'. Dengar saja melodi, tanpa disedari saya menangis. 'Feel' itu sangat dekat," katanya.

Menurut Stacy yang juga isteri kepada penyanyi popular, Akim Ahmad, Peluk adalah buah tangan buat peminat yang sudah lama mahukan dia menyanyi lagu balada.

"Sesekali bertukar genre apa salahnya kan. Lagipun, projek ini memang menarik. Jadi, kenapa tak untuk saya terima. Pada masa sama, projek ini juga buka ruang kepada saya. Peminat pun sudah lama tunggu dan rindukan lagu balada daripada saya.

"Selain menganggap lagu Peluk ini sesuatu yang istimewa, ia juga memberikan cabaran tersendiri buat saya. Ketika proses rakaman, saya kena faham betul-betul lirik dan melodi. Malah, lirik pun ada pertukaran pada saat akhir. Lagu ini juga antara paling lama dirakam iaitu dalam empat ke lima jam juga. Kebiasaannya dalam dua jam saja," katanya.

Pada masa sama, Stacy terharu dan teruja apabila single itu dilancarkan serentak dengan single Bayang nyanyian Akim.

Lebih menarik apabila jumlah tontonan kedua-dua video lirik rasmi lagu itu yang dimuat naik di saluran YouTube Nova Music Videos sejak seminggu lalu saling bersaing.

"Ini pertama kali saya dan Akim keluar lagu serentak. Akim pula selepas lima tahun bersama Akim & The Majistret baru muncul dengan single solo dan saya pula kembali menyanyikan genre balada. Apa yang saya boleh cakap pada peminat, beza dan istimewanya lagu ini kepada saya adalah kerana inilah kali pertama saya menyanyikan lagu balada dengan seluruh 'feel'.

"Saya menyanyi dari dalam jiwa. Itu yang membuatkan saya sampai menangis. Tak dinafikan, menyanyikan lagu ciptaan orang lain dengan lagu ciptaan sendiri memberikan 'feel' yang berbeza. Saya juga mendapat banyak tunjuk ajar daripada Akim dalam menyelami bidang penulisan lagu.

"Apabila saya mulakan rakaman dan letakkan 'feel' dalam lagu ini baru dapat rasa. Pendek kata, lagu ini cukup dekat dengan karakter diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 7:00 AM